RIO DE JANEIRO, 12 MAC – Badut lengkap dengan hidung merah dengan memakai tutu membawa kegembiraan kepada kanak-kanak sakit di sebuah hospital di Rio de Janeiro kelmarin, kemeriahan perayaan yang biasanya diadakan di jalanan kini dipersembahkan terus kepada pesakit muda dan penjaga mereka.
Pesta jalanan yang dikenali sebagai blocos merupakan salah satu ciri utama perayaan Karnival Rio. Ia adalah pesta yang riuh dan meriah dengan ribuan, bahkan ratusan ribu, peserta.
Namun, kemeriahan blocos yang penuh kekecohan itu sudah tentu tidak sesuai untuk kanak-kanak sakit. Oleh itu, anggota projek Clown Circle membuat sambutan yang lebih santai ke hospital di pusat bandar Rio.
Pemuzik, badut bahkan seorang pembawa bendera menari melalui lorong-lorong yang dihiasi dengan serpihan kertas dan topeng, mengajak kanak-kanak, ibu bapa, jururawat dan doktor menari bersama untuk menikmati detik kegembiraan itu.
“Ia memberikan perasaan gembira, kerana berada di hospital dengan anak memang meletihkan,” kata Moniky Fernanda de Nazare Moreira, sambil menggendong anak lelakinya yang berusia setahun.
“Kami memerlukan ini untuk menghiburkan anak – dia suka keadaan yang bersepah sedikit, jadi dia sangat seronok.”
Sementara pemain trompet, dram dan banjo memainkan lagu-lagu klasik Karnival, badut-badut itu cuba berinteraksi secara individu dengan setiap kanak-kanak, memberi perhatian yang bukan berasaskan perubatan. – AP
