Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Sambungan dari minggu lepas
Dalam mengerjakan sembahyang jenazah, adakalanya sebahagian orang terlewat untuk berjemaah bersama-sama imam. Inilah antara sebab kenapa sebahagian orang tidak mengerjakan sembahyang jenazah hanya kerana tertinggal beberapa takbir imam sedangkan perkara ini boleh dilakukan dengan cara masbuq.
MAKSUD MASBUQ KETIKA SEMBAHYANG JENAZAH
Sembahyang jenazah adalah berbeza dengan sembahyang yang lain kerana ia tidak ada ruku‘ dan sujud. Sembahyang jenazah wajib dilakukan dengan empat takbir dan setiap takbir dalam sembahyang jenazah itu seumpama rakaat-rakaat dalam sembahyang yang lain.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata yang maksudnya:
Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengumumkan kepada orang ramai tentang kematian an-Najasyi (gelaran bagi Raja Habsyah) dan Baginda mengangkat takbir sebanyak empat takbir (sembahyang jenazah).
(Hadits riwayat Muslim)
Apa yang dimaksudkan dengan masbuq ketika sembahyang jenazah itu, menurut Imam ar-Ramli dan Imam az-Ziyadi Rahimahumallah ialah sesiapa yang terlambat melakukan takbiratulihramnya daripada takbiratul-ihram imam pada takbir yang pertama atau terlambat daripada takbir imam yang seterusnya walaupun makmum itu mendapati imamnya pada kadar al-Fatihah ataupun lebih.
Menurut Imam Ibn Qasim al-‘Abbadi Rahimahullah, maksud masbuq ketika sembahyang jenazah itu ialah sesiapa yang tidak mendapati imamnya di permulaan sembahyangnya. Ini termasuk juga sesiapa yang mendapati kadar al-Fatihah selepas dia melakukan takbiratulihram sebelum imam mengangkat takbir yang seterusnya.
BAGAIMANA CARA MAKMUM YANG MASBUQ MELAKSANAKAN SEMBAHYANG JENAZAH BERSAMA IMAM?
Cara masbuq bagi makmum yang terlambat mengikut imam sembahyang jenazah dilihat pada keadaan-keadaan seperti yang berikut:
1. Makmum yang masbuq sebelum imam mengangkat takbir yang se-terusnya dan makmum mempunyai masa yang cukup untuk membaca surah al-Fatihah. Maka dalam hal ini, hendaklah makmum membaca surah al-Fatihah walaupun ketika itu imam sedang membaca selawat atau doa pada takbir yang lain.
Sebagai contoh, imam sedang membaca surah al-Fatihah pada takbir yang pertama sedangkan makmum baru melakukan takbiratulihram dan makmum mempunyai masa yang cukup untuk membaca surah al-Fatihah sebelum imam mengangkat takbir yang kedua.
Maka dalam hal ini hendaklah makmum itu membaca surah al-Fatihah.
2. Makmum yang masbuq sedang membaca sebahagian surah al-Fatihah lalu imam mengangkat takbir yang seterusnya, maka pada ketika itu hendaklah makmum meninggalkan bacaan surah al-Fatihahnya dan terus mengikut imam mengangkat takbir.
Baki bacaan surah al-Fatihah makmum yang tidak sempat dibacanya itu ditanggung oleh imam sebagaimana kedudukan dalam sembahyang biasa apabila imam ruku‘ ketika makmum yang masbuq sedang membaca surah al-Fatihah, makmum adalah dituntut untuk terus ruku‘ mengikut imam.
Sebagai contoh, imam sedang membaca surah al-Fatihah di takbir pertama sedangkan makmum baru melakukan takbiratulihram. Kemudian imam mengangkat takbir yang kedua sedangkan makmum hanya sempat membaca sebahagian surah al-Fatihah, maka pada ketika itu hendaklah makmum meninggalkan bacaan surah al-Fatihahnya dan terus mengangkat takbir yang kedua mengikut imam.
3. Makmum yang masbuq sedang melakukan takbiratulihram, lalu imam terus mengangkat takbir yang kedua, maka dalam keadaan ini hendaklah makmum terus mengangkat takbir mengikut imam dan meninggalkan bacaan surah al-Fatihahnya. Bacaan surah al-Fatihah makmum yang tidak sempat dibacanya itu ditanggung oleh imam sebagaimana kedudukan dalam sembahyang biasa apabila imam ruku‘ ketika makmum yang masbuq sedang melakukan takbiratulihram, makmum adalah dituntut untuk terus ruku‘ mengikut imam.
4. Makmum yang masbuq sedang melakukan takbiratulihram, lalu imam terus memberi salam di takbir yang keempat, maka dalam keadaan ini pula, hendaklah makmum membaca dan menyempurnakan bacaan surah al-Fatihahnya.
5. Makmum yang masbuq hendaklah menyempurnakan takbir-takbir yang tidak sempat dilakukannya bersama imam dengan membaca bacaan-bacaan yang wajib dan sunat. Ia hendaklah dilakukan setelah imam memberi salam pada takbir yang keempat sebagaimana kedudukannya dalam sembahyang biasa apabila makmum yang masbuq menyempurnakan rakaat-rakaat yang tidak sempat dilakukannya bersama imam.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
Jika diseru untuk mengerjakan sembahyang, maka kamu datangilah dalam keadaan berjalan dengan penuh ketenangan. Apa yang kamu sempat (bersama imam) kamu kerjakanlah sembahyang (bersama imam) dan apa yang kamu luput (bersama imam) maka kamu sempurnakanlah (sendiri).
(Hadits riwayat Muslim)
Demikian beberapa penjelasan mengenai hukum dan cara mengerjakan sembahyang jenazah bagi makmum yang masbuq. Perkara ini amat penting dan perlu diketahui agar sembahyang yang dilakukan sempurna dan diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan tidak terlepas peluang untuk melakukan sembahyang jenazah dengan berjemaah walaupun terlambat mengikut imam.