(iii) MELETAKKAN KEDUA TANGAN KANAN DAN KIRI DI ATAS PUSAT DAN DI BAWAH DADA DENGAN MENYASARKANNYA SEDIKIT KE ARAH SUDUT KIRI.
Meletakkan kedua tangan pada posisi ini mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Ini kerana dengan meletakkan kedua tangan pada posisi tersebut, ia berada di atas anggota manusia yang paling mulia iaitu hati, yang merupakan tempat tersematnya iman, niat dan keikhlasan. Pada kelazimannya, apabila seseorang itu ingin memelihara atau mempertahankan sesuatu yang terlalu bernilai bagi dirinya, dia akan meletakkan kedua tangannya di atasnya. Maka perlakuan ini menggambarkan seolah-olah orang yang sedang bersembahyang itu sedang bersungguh-sungguh menjaga iman, niat dan keikhlasan yang terpateri di dalam hatinya.
Dalam kitab al-Hawi al-Kabir pula disebutkan bahawa hikmah berbuat demikian ialah kerana khusyu‘ tempatnya pada hati. Dari itu meletakkan tangan padanya lebih membantu mendatangkan rasa khusyu‘ berbanding meletakkannya pada posisi yang lain seperti meletakkannya di bawah pusat dan sebagainya.
Antara hikmahnya lagi sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Mawardi dan Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahumullah, meletakkan tangan pada hati bertujuan mengingatkan orang yang bersembahyang supaya sentiasa mengawal hatinya agar tidak sibuk berfikir-fikir atau berangan-angan ketika bersembahyang. Ini adalah salah satu punca utama yang mengakibatkan kekhusyu‘an sukar diperolehi.
Menurut Imam asy-Syarwani Rahimahullah, tuntutan ini bukanlah bermaksud kita dituntut untuk mencari tempat terletaknya hati dengan tepat. Bahkan adalah memadai meletakkannya secara anggaran sahaja.
Kaifiat yang disebutkan ini disunatkan sebagai ittiba‘ yakni mengikuti dan mencontohi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berdasarkan hadits-hadits yang meriwayatkan bahawasanya Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukannya dengan kaifiat yang disebutkan tadi dan mengajarkannya kepada para sahabat Baginda.

KAIFIAT MELETAKKAN TANGAN BAGI MEREKA YANG TIDAK DAPAT MENGERJAKAN QIYAM
Kaifiat yang disebutkan sebelum ini sunat dilakukan ketika qiyam jika dia mampu mengerjakan qiyam. Bagaimana pula sekiranya dia tidak mampu mengerjakan qiyam?
Sekiranya dia tidak mampu mengerjakan qiyam, contohnya dia mengerjakan sembahyang secara duduk atau berbaring, maka adalah sunat juga dia meletakkan tangan sepertimana kaifiat yang dituntut kepada mereka yang mampu mengerjakan qiyam.
KAIFIAT MELETAKKAN TANGAN KETIKA QIYAM BAGI MEREKA YANG CACAT ANGGOTA TANGANNYA
Menurut Imam asy-Syaubari Rahimahullah, sepertimana yang dinukilkan daripadanya oleh Imam al-Bujairimi Rahimahullah dalam Tuhfah al-Habib dan Imam asy-Syarwani Rahimahullah dalam Hawasyi Tuhfah al-Muhtaj, sekiranya seseorang itu terputus tangan kanannya dari kawasan pergelangan, maka diletakkannya hujung lengan kanan di atas tangan kirinya.
Adapun sekiranya kedua tangannya terputus dari kawasan pergelangan, maka dia letakkan satu hujung lengan pada hujung lengan yang sebelah lagi. Dalam keadaan seperti ini, adalah dituntut untuknya meletakkan tangannya itu di bawah dada sepertimana keadaan mereka yang sejahtera tangannya.
Demikian beberapa penerangan mengenai kaifiat meletakkan tangan ketika qiyam.
Tuntutan ini, walaupun hanya dalam perkara sunat hai’at yang jika ditinggalkan tidak menjejaskan sembahyang serta tidak perlu ditampung dengan sujud sahwi, ia tetap perlu ditunaikan sepertimana yang dituntut kerana selain mendapat pahala kerana mencontohi perlakuan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, ia juga membantu mendatangkan kekhusyu‘an dan lebih menunjukkan sikap tawadhu‘ di hadapan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.