Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Bagaimana meletakkan tangan ketika berdiri dalam sembahyang?

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Ibadat sembahyang merupakan ibadat yang menjadi rutin dalam kehidupan seharian seorang muslim.

    Dalam sehari semalam, ada lima sembahyang fardhu yang wajib dikerjakan. Ini belum mengambil kira pelbagai sembahyang sunat yang boleh dikerjakan sepanjang hari bagi mereka yang hendak merebut kelebihannya.

    Keadaan ibadat sembahyang yang menjadi rutin harian ini mungkin menjadikan sebahagian orang merasa selesa lalu menyangka bahawa sembahyang yang dikerjakannya sudah sempurna. Sedangkan pada hakikatnya, masih banyak hukum dan permasalahan terperinci mengenai ibadat sembahyang yang perlu diketahui atau difahaminya betul-betul, antaranya dalam perkara sunat hai’at. Perkara yang dimaksudkan ialah kaifiat atau cara meletakkan tangan ketika qiyam, yakni ketika berdiri mengerjakan sembahyang.

    Jika kita perhatikan di masjid-masjid, di kaca televisyen dan seumpamanya, pelbagai macam dan cara yang dilakukan oleh orang yang bersembahyang dalam melaksanakan tuntutan ini. Ada yang meletakkan tangannya di bawah pusat, ada yang meletakkannya di atas dada, ada yang hanya melepaskan tangannya ke bawah dan sebagainya.

    Persoalannya, kaifiat manakah yang tepat menurut mazhab asy-Syafi‘i? Setakat manakah pula kesan dan kepentingan menunaikan tuntutan ini terhadap ibadat sembahyang yang dikerjakan?

    Gambar Envato Elements

    PENDAPAT MAZHAB ASY-SYAFI‘I MENGENAI KAIFIAT MELETAKKAN TANGAN KETIKA QIYAM

    Menurut mazhab asy-Syafi‘i, kaifiat meletakkan tangan ketika qiyam yang disunatkan dan paling afdhal ialah dengan memenuhi kesemua tuntutan berikut:

    Yang pertama, tangan kanan hendaklah diletakkan di atas tangan kiri. Ini adalah pendapat jumhur ulama termasuk ramai daripada golongan sahabat, tabi‘in dan lainnya.

    Yang kedua, ini dilakukan dengan cara tapak tangan kanan serta jarinya menggenggam anggota-anggota berikut: (i) Bahagian tulang pada pergelangan yang selari dengan ibu jari tangan kiri; (ii) Sebahagian pergelangan tangan kiri; (iii) Permulaan lengan kiri (bahagian lengan selepas pergelangan tangan kiri).

    Ini berdasarkan hadits daripada Wa’il bin Hujur Radhiallahu ‘anhu, di mana beliau meriwayatkan yang maksudnya:

    “Aku memerhatikan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam (untuk mengetahui) bagaimana Baginda mengerjakan sembahyang. Dia (Wa’il bin Hujur Radhiallahu ‘anhu) berkata lagi:

    Lalu aku melihat Baginda berdiri lalu bertakbir dan mengangkat kedua tangannya hingga sejajar dengan kedua telinganya. Kemudian Baginda meletakkan tangan kanan Baginda di belakang tapak tangan kiri Baginda serta pergelangan (kiri) dan lengan (kiri) …”
    (Hadits riwayat Abu Daud, an-Nasa’i dan Ahmad)

    Tuntutan ini dapat disempurnakan dengan cara tapak tangan kanan serta jarinya melingkari kawasan pergelangan tangan kiri. Ini adalah pendapat muktamad dalam mazhab asy-Syafi‘i dan merupakan kaifiat yang paling afdhal.

    Manakala jari tangan kiri pula, menurut Imam ar-Ramli Rahimahullah dalam Nihayah al-Muhtaj, hendaklah direnggangkan atau dibentangkan secara sederhana.

    Adapun hikmah serta tujuan disyariatkan meletakkan tangan seumpama ini ketika qiyam ialah untuk menahan kedua tangan daripada melakukan perkara-perkara yang sia-sia. Di samping itu, melaksanakan kaifiat ini lebih cenderung untuk meraih kekhusyu‘an, serta lebih menunjukkan sifat tawadhu‘, rendah hati serta rasa hina di hadapan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

    Sekiranya dia hanya meletakkan tangannya ke bawah maka hukumnya makruh sepertimana pendapat yang dinukilkan daripada Imam al-Baghawi Rahimahullah. Akan tetapi, menurut Imam asy-Syafi‘i Rahimahullah, jika dalam keadaan tersebut dia mampu menahan diri daripada berbuat sia-sia, maka yang demikian itu tidak mengapa.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...