(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Kelebihan hari-hari al-‘Asyr al-Awa’il
Bulan Zulhijjah adalah bulan suci yang sangat istimewa dan penuh dengan kebajikan serta keberkatan.
Bulan Zulhijjah dikenali umum sebagai bulan yang dikhususkan padanya ibadat haji dan qurban.
Walau bagaimanapun, perlu diambil perhatian bahawa keistimewaan bulan Zulhijjah bukan setakat pada pensyariatan dua ibadat itu sahaja.
Selain keistimewaan pada dua ibadat itu, perlu juga diketahui bahawa 10 hari pertama daripada bulan tersebut atau dalam Bahasa Arabnya disebut sebagai al-‘asyr al-awa’il, adalah hari-hari yang agung dan sangat istimewa di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Sebenarnya 10 hari pertama bulan Zulhijjah itu adalah lebih utama daripada hari-hari yang lain.
Adapun hari Jumaat dalam lingkungan 10 hari pertama bulan Zulhijjah adalah lebih utama daripada hari-hari Jumaat pada hari-hari biasa.

Sementara hari ‘Arafah pula adalah hari yang paling afdhal dalam lingkungan 10 hari pertama bulan Zulhijjah itu.
Betapa agung dan istimewanya 10 hari pertama bulan Zulhijjah itu sehinggakan amal salih yang dikerjakan di dalamnya adalah lebih afdhal daripada amal salih pada hari-hari lain.
Bahkan amal salih di dalamnya dianggap lebih afdhal daripada pulang selepas berjuang pada jalan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang maksudnya:
“Tidak ada amal salih yang lebih afdhal daripada amal salih pada hari-hari ini (10 hari pertama bulan Zulhijjah). Para sahabat bertanya: Dan tidak juga jihad (mampu menandinginya)?
Baginda menjawab: Dan tidak juga jihad (mampu menandinginya), kecuali seorang yang keluar berjuang dengan jiwa dan hartanya lalu dia tidak kembali dengan suatu apa pun (mati syahid).” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Begitu istimewanya 10 hari pertama bulan Zulhijjah itu sehinggakan Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah bersumpah dengannya dalam al-Quran.
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:
“Demi fajar (1) Demi malam-malam yang 10 (2).” (Surah al-Fajr: 1-2)
Menurut Ibnu ‘Abbas, ‘Abdullah bin az-Zubair, Qatadah, Mujahid dan ramai ahli tafsir salaf dan khalaf, maksud “malam-malam yang sepuluh” dalam ayat berkenaan ialah 10 hari pertama bulan Zulhijjah.
Atas dasar tidak mahu ketinggalan merebut keistimewaan ini, para salaf as-shalih umpamanya Sa‘id bin Jubair Rahimahullah, apabila masuk sahaja 10 hari pertama bulan Zulhijjah, dia akan berusaha mempertingkatkan amalnya dengan seluruh kemampuannya.
Imam Ibnu Hajr al-‘Asqalaani Rahimahullah berkata: “Dan apa yang jelas, adapun sebab keistimewaan 10 hari pertama bulan Zulhijjah ini ialah kerana terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu: sembahyang, puasa, sedekah dan haji. Pada waktu-waktu yang lain, ibadat-ibadat ini tidak pernah terhimpun sebegitu.”
Amalan-amalan yang dianjurkan pada hari-hari al-‘Asyr al-awa’il
Taqarrub yakni mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan amal salih sememangnya dituntut pada setiap masa.
Bagaimanapun, terdapat beberapa masa serta keadaan di mana ia lebih dituntut serta ganjarannya lebih besar daripada masa serta keadaan yang lain.
Ini adalah satu kurniaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang sepatutnya direbut dan dimanfaatkan oleh sekalian hambaNya.
Salah satu daripada hari-hari istimewa tersebut adalah hari-hari al-‘asyr al-awa’il, iaitu 10 hari pertama bulan Zulhijjah ini.
Tanggal 10 Zulhijjah sedia dimaklumi merupakan hari raya ‘Idul Adha yang diisi dengan takbir, sembahyang sunat ‘Idul Adha, ibadat qurban dan sebagainya. Jadi apa pula bentuk amalan untuk mengisikan sembilan hari pertama bulan Zulhijjah ini?
Berikut beberapa amalan yang paling utama serta patut dikerjakan dan dilipatgandakan pada hari-hari tersebut, antaranya:
1) Memperbanyakkan Sembahyang Sunat
Ibadat sembahyang adalah ibadat yang pertama sekali dihisab pada hari akhriat kelak.
Sembahyang sunat secara khususnya pula mempunyai keistimewaan yang tersendiri di mana ia akan menjadi penambal terhadap kekurangan-kekurangan yang berlaku atau terdapat pada sembahyang fardhu.
Ini menjadikan ia ibadat yang paling utama dan merupakan antara cara paling afdhal untuk taqarrub yakni mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Ia juga antara cara terbaik untuk memperoleh kecintaanNya sekaligus mengangkat darjat kita di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Memandangkan 10 hari pertama bulan Zulhijjah ini merupakan hari-hari yang mana amal ibadat padanya paling disukai Allah Subhanahu wa Ta‘ala, maka amalan sembahyang-sembahyang sunat sayugia diperbanyakkan.
2) Puasa Sunat
Ibadat puasa juga merupakan antara amalan yang paling utama pada hari pertama hingga sembilan Zulhijjah ini.
Mengenai kelebihan amalan puasa pula, dalam sebuah hadits qudsi yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
“Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah berfirman: Semua amal ibadat anak Adam adalah bagi dirinya sendiri kecuali ibadat puasa. Sesungguhnya ibadat puasa itu adalah untukKu dan Aku sendiri yang akan mengurniakan ganjaran pahala baginya.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)
Adapun puasa sunat yang sangat dianjurkan pada hari pertama hingga sembilan Zulhijjah ialah:
(i) Puasa Sunat ‘Arafah (9 Zulhijjah)
Hukum puasa sunat ‘Arafah adalah sunat muakkadah (yang sangat dituntut) bagi orang yang tidak mengerjakan haji dan ia adalah puasa yang paling utama dan paling dituntut pada hari-hari al-‘asyr al-awa’il ini.
Sebaliknya orang yang mengerjakan haji disunatkan untuk tidak berpuasa walaupun dia berupaya untuk melaksanakan puasa.
Begitu juga tidak disunatkan bagi orang yang musafir serta orang sakit untuk berpuasa pada hari ‘Arafah jika dengan berpuasa itu akan mendatangkan kepayahan kepada mereka.
Puasa sunat ‘Arafah sangat besar fadhilatnya. Abu Qatadah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang maksudnya:
“Puasa hari ‘Arafah, aku memohon kepada Allah agar menebus dosa-dosa setahun sebelumnya serta setahun selepasnya”. (Hadits riwayat Imam Muslim)
Hadis ini bermaksud bahawa mengerjakan puasa sunat ‘Arafah itu diberikan ganjaran pengampunan dosa-dosa setahun sebelum hari ‘Arafah yang lalu serta setahun selepas hari ‘Arafah yang akan datang.
Imam al-Mawardi Rahimahullah berkata bahawa ‘pengampunan’ dalam hadis tersebut mempunyai dua tafsiran:
i. Allah Subhanahu wa Ta‘ala mengampunkan dosanya pada dua tahun tersebut.
ii. Allah Subhanahu wa Ta‘ala memeliharanya pada dua tahun tersebut, dan dia tidak akan berbuat maksiat pada dua tahun itu.
Adapun pengampunan dosa-dosa yang dimaksudkan itu adalah pengampunan bagi dosa-dosa kecil sahaja. Ini kerana dosa-dosa besar hanya dapat diampunkan dengan taubat atau (pengampunan) melalui rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah, sepertimana yang dinukil oleh Imam asy-Syaukani Rahimahullah dalam kitabnya Nail al-Authar, sekiranya orang yang mengerjakan puasa sunat ‘Arafah itu tidak mempunyai dosa-dosa kecil, maka akan diampunkan pula baginya dosa-dosanya yang besar. Sekiranya dia tidak juga mempunyai dosa-dosa besar, maka puasanya itu akan mengangkat darjatnya.
(ii) Puasa keseluruhan hari pertama hingga sembilan Zulhijjah
Menurut Imam an-Nawawi Rahi-mahullah, puasa sunat pada hari pertama hingga sembilan Zulhijjah merupakan puasa sunat yang sangat-sangat dituntut dan digalakkan.
Salah satu dalil pensyariatan puasa ini ialah sebuah hadits yang diriwayatkan daripada salah seorang isteri Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, katanya yang maksudnya:
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa pada sembilan hari pertama bulan Zulhijjah ……”. (Hadis riwayat Imam Abu Daud dan Imam Ahmad)
3) Memperbanyakkan zikir
Perkara ini ada disebutkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di mana Baginda menggalakkan supaya memperbanyakkan zikir pada hari-hari tersebut.
Daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
“Tidak ada hari-hari yang lebih agung di sisi Allah serta tidak ada hari-hari di mana amalan pada hari-hari tersebut lebih disukai olehNya lebih daripada 10 hari pertama bulan Zulhijjah ini. Maka perbanyakkanlah pada hari-hari itu tahlil dan takbir serta tahmid”. (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma berkata: “Dan berzikirlah kamu mengingat Allah Subhanahu wa Ta‘ala di hari-hari yang tertentu iaitu 10 hari pertama bulan Zulhijjah serta hari-hari yang tertentu bilangannya iaitu hari-hari tasyriq.”
Imam al-Bukhari Rahimahullah berkata dalam Shahihnya: “Adapun Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhum keluar ke pasar pada 10 hari-hari pertama bulan Zulhijjah dan bertakbir, lalu orang ramai (yang mendengarnya) turut sama bertakbir.”
Inilah sebahagian amalan yang elok dilipat ganda dan diperbanyakkan pada hari-hari al-‘asyr al-awa’il itu.
Selain itu, banyak lagi amalan lain yang boleh dilakukan seperti memperbanyakkan sedekah, berdoa, membaca al-Qur’an, bersalawat dan sebagainya.
Jangan biarkan hari-hari istimewa ini berlalu begitu sahaja tanpa direbut segala kelebihan-kelebihan yang ada padanya kerana ini adalah peluang keemasan untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala serta mengangkat darjat di sisiNya.
Kita tidak tahu adakah kita masih berpeluang lagi menemuinya selepas ini ataupun sebaliknya.