Sunday, July 7, 2024
23.3 C
Brunei

    -

    Bagaimana mikroplastik memasuki badan dan kesannya terhadap kesihatan

    KUALA LUMPUR – Mikroplastik telah menjadi bahagian yang merebak dalam persekitaran kita, menyusup ke lokasi-lokasi paling terpencil dan ekstrem di Bumi.

    Daripada kedalaman Palung Mariana hingga ke puncak Gunung Everest, zarah plastik kecil ini, yang ditakrifkan sebagai kepingan kurang daripada lima milimeter, ditemui hampir di mana-mana.

    Kajian-kajian terbaharu telah semakin banyak mengesan mikroplastik dalam tubuh manusia.

    Ini menimbulkan kebimbangan tentang potensi implikasi kesihatan dan menyerlahkan tahap pencemaran plastik.

    Memahami pelbagai laluan di mana mikroplastik boleh memasuki badan kita adalah penting untuk menilai kesannya dan merangka strategi untuk mengurangkan pendedahan:

    Gambar Freepik

    • Pengingesan

    Salah satu laluan utama di mana mikroplastik memasuki tubuh manusia ialah pengambilan.

    Ini boleh berlaku melalui pelbagai sumber, contohnya makanan dan minuman di mana mikroplastik telah dikesan dalam pelbagai jenis bahan makanan, terutamanya dalam makanan laut.

    Organisma marin sering menelan mikroplastik yang terdapat di persekitaran, yang kemudiannya terkumpul di dalam badan.

    Apabila manusia mengambil makanan laut, mereka secara tidak sengaja juga termakan mikroplastik berkenaan.

    Selain makanan laut, mikroplastik telah ditemui dalam produk makanan lain seperti garam dan madu.

    Air minuman adalah satu lagi sumber penting pengambilan mikroplastik. Kajian telah menunjukkan bahawa air botol dan air paip boleh mengandungi mikroplastik, menimbulkan risiko pendedahan berterusan.

    Sumber lain adalah habuk dan produk isi rumah yang mana mikroplastik juga boleh mengendap pada makanan daripada habuk rumah.

    Ini terutamanya dalam persekitaran dalaman di mana bahan plastik tersebar, seperti tekstil sintetik, perabot dan pembungkusan.

    Semasa penyediaan dan pengambilan makanan, mikroplastik yang terkadung dalam habuk rumah boleh mencemari makanan.

    Selain itu, produk-produk isi rumah tertentu, seperti ubat gigi dan garam halus, boleh mengandungi mikroplastik.

    Penggunaan produk-produk berkenaan boleh membawa kepada pengambilan mikroplastik, seterusnya menyumbang kepada kehadirannya dalam tubuh manusia.

    • Penyedutan

    Satu lagi laluan penting kemasukan mikroplastik ke dalam tubuh manusia adalah melalui penyedutan.

    Mikroplastik bawaan udara semakin diiktiraf sebagai sumber pencemaran alam sekitar, terutamanya di kawasan bandar dan berhampiran tapak-tapak perindustrian.

    Mikroplastik boleh menjadi bawaan udara melalui pelbagai cara, contohnya, lelasan bahan plastik, proses perindustrian dan pemecahan serpihan plastik yang lebih besar.

    Zarah-zarah berkenaan kemudiannya boleh disedut dan memasuki sistem pernafasan.

    Dalam persekitaran bandar, kepekatan mikroplastik bawaan udara boleh menjadi lebih tinggi disebabkan peningkatan aktiviti manusia dan kelaziman bahan plastik.

    Udara dalaman juga boleh menjadi sumber mikroplastik yang disedut, terutamanya di ruang dengan pengudaraan yang tidak bagus atau jumlah tekstil dan perabot sintetik yang tinggi.

    Setelah disedut, mikroplastik boleh memendap dalam saluran pernafasan, yang berpotensi menyebabkan kerengsaan dan keradangan.

    • Penyerapan

    Walaupun kurang ketara berbanding dengan pengambilan dan penyedutan, penyerapan melalui kulit adalah satu lagi laluan di mana mikroplastik boleh memasuki tubuh manusia.

    Ini berlaku terutamanya melalui penggunaan produk penjagaan diri yang mengandungi mikroplastik.

    Sesetengah produk kosmetik dan penjagaan diri, seperti scrub pengelupasan, ubat gigi dan krim, menggabungkan mikroplastik untuk sifat melelasnya atau sebagai pengisi.

    Apabila produk-produk berkenaan digunakan pada kulit, mikroplastik boleh diserap.

    Walau bagaimanapun, tahap penyerapan melalui kulit secara amnya lebih rendah daripada melalui pengingesan atau penyedutan.

    Namun begitu, penggunaan berulang produk-produk sedemikian boleh membawa kepada pendedahan terkumpul lama-kelamaan.

    KESAN PADA BADAN

    Sebaik sahaja berada di dalam badan, mikroplastik boleh menyebabkan pelbagai kesan kesihatan yang buruk menerusi:

    • Kerosakan fizikal

    Salah satu cara utama mikroplastik boleh membahayakan tubuh manusia adalah menerusi kerosakan fizikal.

    Kehadiran fizikal mikroplastik dalam tisu boleh menyebabkan kerengsaan dan keradangan, terutamanya dalam saluran gastrousus dan pernafasan.

    Contohnya, apabila mikroplastik ditelan, ia boleh menyebabkan kerengsaan mekanikal pada saluran gastrousus.

    Ini boleh menyebabkan keradangan, dan dari semasa ke semasa, boleh menyumbang kepada perkembangan ulser atau masalah gastrousus yang lain.

    Begitu juga, mikroplastik yang disedut boleh memendap dalam saluran pernafasan, menyebabkan keradangan kronik dan berpotensi memburukkan lagi masalah seperti asma dan penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD).

    Keradangan berterusan yang disebabkan oleh mikroplastik juga boleh melemahkan sistem imun, menjadikan badan lebih mudah terdedah kepada jangkitan dan berpotensi menjejaskan keupayaannya untuk bertindak balas terhadap penyakit-penyakit lain.

    • Pendedahan bahan kimia

    Mikroplastik tidak lengai; ia sering membawa koktel bahan kimia berbahaya yang boleh meresap ke dalam badan dan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan.

    Bahan kimia berkenaan termasuk bahan tambahan seperti phthalates dan bisphenol A (BPA), yang digunakan dalam pengeluaran plastik, dan bahan pencemar organik berterusan (POP) seperti polychlorinated biphenyls (PCB).

    Apabila berada di dalam badan, mikroplastik boleh melepaskan bahan toksik tersebut.

    Sebagai contoh, BPA merupakan pengganggu endokrin yang boleh mengganggu fungsi hormon, yang berpotensi membawa kepada masalah pembiakan dan keabnormalan perkembangan.

    Phthalates, satu lagi bahan tambahan biasa dalam plastik, telah dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan, termasuk masalah pernafasan dan gangguan metabolik.

    Pendedahan jangka panjang kepada bahan-bahan kimia sedemikian juga boleh meningkatkan risiko kanser.

    • Risiko biologi

    Mikroplastik juga boleh menimbulkan ancaman biologi dengan bertindak sebagai pembawa patogen.

    Mikroplastik boleh menampung bakteria, virus dan patogen lain, yang mungkin menumpang zarah berkenaan dan memasuki tubuh manusia.

    Ini boleh menimbulkan risiko kesihatan tambahan, kerana patogen tersebut boleh menyebabkan jangkitan atau memburukkan lagi masalah kesihatan sedia ada.

    Mikroplastik yang dimakan juga boleh mengganggu mikrobiom usus.

    Komuniti mikroorganisma yang hidup dalam saluran pencernaan itu adalah penting untuk penghadaman dan kesihatan keseluruhan kita.

    Gangguan berkenaan boleh menyebabkan masalah pencernaan dan berpotensi memberi kesan kepada sistem imun.

    USAHA GABUNGAN

    Meskipun penyelidikan tentang tahap penuh kesan kesihatan mikroplastik masih berterusan, bukti menunjukkan bahawa mengurangkan pendedahan kepada mikroplastik adalah dinasihatkan.

    Menangani sumber pencemaran mikroplastik dan meningkatkan pemahaman tentang kesannya terhadap kesihatan manusia adalah langkah penting ke arah mengurangkan risiko berkenaan dan melindungi kesihatan awam.

    Mengurangkan kehadiran mikroplastik dalam persekitaran dan badan kita memerlukan pendekatan pelbagai aspek yang merangkumi strategi alam sekitar, tindakan peribadi dan perubahan sistemik.

    Dengan mempromosikan alternatif yang mampan, menambah baik pengurusan sisa, melaksanakan langkah-langkah kawalan pencemaran, meningkatkan kesedaran orang ramai dan melabur dalam penyelidikan dan inovasi, kita boleh mengurangkan pencemaran mikroplastik dengan ketara.

    Strategi-strategi peribadi dan isi rumah, seperti mengurangkan penggunaan plastik, pelupusan sisa yang betul, menggunakan sistem penapisan, membuat pilihan pakaian termaklum dan menyokong usaha advokasi, boleh menyumbang lagi kepada mengurangkan kesan mikroplastik.

    Usaha-usaha kerjasama dalam penyelidikan, penggubalan dasar dan kesedaran awam, dan dalam kalangan individu, komuniti, industri dan kerajaan, adalah penting untuk menangani isu berleluasa dan kompleks ini.

    Kita perlu melindungi dan memastikan persekitaran yang lebih sihat untuk kesihatan kita sendiri dan masa depan yang lebih mampan. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sidang Kemuncak SCO alu-alukan keahlian Belarus

    ASTANA, 5 JULAI – Sidang Kemuncak Majlis Ketua-ketua Negara Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) ke-24 yang berakhir kelmarin menyaksikan pencapaian luar biasa, termasuk penerimaan Deklarasi...