Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bagaimana umpan tiruan beraksi

    Oleh Raz As –

    Kebanyakan lure atau umpan tiruan berbadan keras, atau hard-bodied lure, memiliki lips atau bibir pada bahagian kepalanya.

    Bibir ini yang berbentuk seperti sudu, atau mungkin lebih tepat lagi dikatakan berbentuk seperti lidah yang terjulur, adalah bahagian paling penting pada umpan tiruan tersebut, lebih-lebih lagi daripada jenis crankbait dan juga jerkbait.

    Berdasarkan bentuk, sudut, kelebaran dan juga kepanjangan bibir yang ada pada sesuatu umpan tiruan tersebut, secara amnya, ia akan menentukan bagaimana aksi renangan dan kadang-kadang berapa dalam umpan itu akan menyelam.

    Meski bagi faktor kedalaman selaman, ia tidak semestinya disebabkan oleh bibir umpan, kerana sesetengah umpan tiruan seperti jerkbait sememangnya ada jenis yang tenggelam (sinking) atau terapung di bawah permukaan (suspending), tidak semuanya terapung di permukaan (floating).

    Bibir ini akan memanipulasi tekanan air dari arah depan, yang terhasil semasa umpan digulung atau ditunda, yang menyebabkannya menyelam melawan keapungan badan umpan tiruan tersebut, dan juga ketidak seimbangan pada badan umpan untuk membelah air.

    Kelebaran bibir umpan adalah faktor yang penting untuk menentukan aksi gelekannya. – Agensi

    Ini akan membuatkan badan umpan tiruan tersebut tergelek-gelek seperti ikan yang berenang atau ikan yang tercedera, walaupun tanpa pemancing memberikan input melalui hujung joran, seperti twitching atau jerking, untuk ‘menghidupkan’ sesuatu umpan tersebut.

    Berbeza dengan menggunakan umpan tiruan badan keras yang tidak mempunyai bibir seperti pensil, popper, swimbait atau seumpamanya, umpan-umpan itu hanya akan bergerak kaku seakan-akan batang hanyut tanpa sebarang input daripada pemancing.

    Bentuk, sudut, lebar dan panjang sesuatu umpan tiruan adalah faktor penting untuk difahami oleh pemancing agar mereka boleh memilih dan menggunakan umpan yang sesuai mengikut keadaan persekitaran padang pancing, tahap kedalaman di mana ikan berada dan keaktifan ikan pada ketika itu.

    Posisi sudut bibir bukanlah penentu utama kedalaman umpan menyelam kerana faktor kedalaman selaman adalah ditentukan oleh kelebaran dan paling penting ialah kepanjangan bibir sesuatu sesuatu umpan itu.

    Meskipun begitu, posisi sudut mempunyai kaitan dengan faktor kedalaman selaman. Untuk umpan yang mempunyai aksi selaman dalam, ia haruslah mempunyai bibir yang panjang dan kedudukan sudut bibirnya lebih mendatar, jika sudutnya terlalu menegak renangannya akan menjadi tidak stabil dan ia tidak akan dapat menyelam dengan baik atau sama sekali tidak akan menyelam kerana halangan air.

    Manakala umpan dengan aksi selaman cetek mempunyai bibir yang lebih kecil dan pendek, ia juga memerlukan sudut yang lebih menegak, jika tidak, umpan itu tidak akan mempunyai aksi renangan yang baik atau mati.

    Kelebaran bibir umpan adalah faktor yang penting untuk menentukan aksi gelekannya.

    Umpan yang mempunyai bibir yang lebar mempunyai aksi renangan yang lebih hidup kerana ia memerlukan umpan tersebut untuk bergerak ke kiri dan kanan dalam gerakan yang lebih besar untuk melawan halangan air. Manakala lure yang mempunyai bibir yang kecil pula mempunyai aksi renangan yang lebih padat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda