Oleh Rafidah Jumat & Daniel Lim
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MAC – Demi menghargai dan menyokong pekerja barisan hadapan yang berjuang melindungi negara ini daripada penularan pandemik COVID-19, Syera Services Sdn Bhd memberikan sumbangan berupa air mineral, syampu badan, biskut, kutleri pakai buang, paket minuman segera (kopi, teh dan milo) dan kit tumpahan kimia kepada Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait.
Sumbangan yang diberikan adalah sebagai menyahut mesej yang diedarkan melalui sosial media yang menganjurkan orang ramai untuk sama-sama membantu menghulurkan barangan penting kepada pasukan barisan hadapan.
Penyerahan sumbangan berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Syera Services Sdn Bhd, Janice @ Ikak binti Enggang dan Pengurus Besar Syera Services, Micheal Shim kepada wakil hospital, Radiografi Kanan, Jong Cherng Jyi dan Jurutera Perubatan Bio, Awang Mohd Huzaimi bin Haji Rosli.
Semasa menerima sumbangan itu, Jong Cherng Jyi sebagai wakil hospital tersebut menyatakan penghargaan atas sumbangan tersebut yang diharapkan akan dapat menangani pelbagai cabaran bukan hanya di hospital namun juga keseluruhannya.
Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporatnya, Syera Services juga menekankan matlamat utama mereka adalah untuk menangani krisis kesihatan seumpamanya dan menyokong semua usaha kerajaan untuk mengekang wabak itu dengan menitikberatkan amalan membersihkan tangan menggunakan air dan sabun serta menggunakan pembersih tangan.
Syarikat itu juga menyedari ramai doktor, jururawat dan kakitangan barisan hadapan sanggup merisikokan diri mereka dan melakukan yang terbaik dengan kerja syif tanpa mengenal waktu bagi memastikan pesakit yang dijangkiti dan keselamatan orang awam terjamin semasa pandemik COVID-19 ini.
Perkara itu disuarakan oleh Janice @ Ikak selepas menyerahkan sumbangan dengan menambah, “Dengan bersama, kami ingin memberikan bantuan dan menyokong masyarakat setempat dengan mengukuhkan semangat mereka semasa waktu penting ini.”
