Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Sempena Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas Pasokan Simpanan Gurkha (PSG), Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan perubahan nama PSG kepada Pasukan Sekuriti Gurkha atau Gurkha Security Unit.
Perubahan nama itu diumumkan semasa Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah sempena Upacara Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas PSG yang berlangsung di Padang Kawad, Perkhemahan Sungai Akar, hari ini.
Terdahulu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas perbarisan membanggakan yang mencerminkan kesiapsiagaan dan mutu disiplin yang tinggi pada anggota pasukan tersebut.
Baginda semasa bertitah menekankan selama dalam tempoh 50 tahun, PSG telah bersama-sama menyumbang kepada keamanan dan kemakmuran yang telah dinikmati oleh Negara Brunei Darussalam.
“Beta sangat gembira dengan perkembangan pasukan ini yang secara berterusan telah mengukuhkan keupayaan dalam menempuh perubahan-perubahan yang mencabar.
“Setelah lima dekad penubuhan PSG, pasukan ini telah berkembang sebagai sebuah organisasi keselamatan yang mempunyai reputasi tinggi yang amat digalati.
“Dengan berlainan latar belakang, pengambilan anggota PSG yang terdiri daripada pesara-pesara anggota British Army Brigade of Gurkhas, Gurkha Contingent Singapore Police Force, Nepal Army dan Indian Army serta termasuk rakyat Negara Brunei Darussalam telah menyumbang kepada kepelbagaian kepakaran, kompetensi dan pengalaman luas, menjadikan PSG sebuah organisasi yang berdaya tahan,” titah Baginda.
Dengan mengambil sukut yang bersejarah dan juga sebagai tanda pengiktirafan terhadap jasa bakti dan pencapaian PSG, Baginda sukacita mengurniakan Pingat Jubli Emas PSG kepada semua anggota PSG yang sedang berkhidmat dan juga kepada mantan-mantan pemimpin yang telah memainkan peranan penting dalam perkembangan organisasi berkenaan.
“Pengurniaan pingat ini juga mencerminkan komitmen pasukan ini dalam melaksanakan tugas dengan penuh kesetiaan dan dedikasi.”
Baginda turut menekankan Galeri Gurkha yang dirasmikan hari ini juga memaparkan sejarah PSG yang semenjak penubuhannya sehingga ke hari ini dan profil anggota-anggota Gurkha yang menerima penghormatan Victoria Cross serta kebudayaan dan warisan Gurkha secara umumnya.
Baginda juga berharap semua anggota pasukan tersebut akan terus menerapkan nilai-nilai teras dengan penuh komited agar PSG sentiasa kekal relevan untuk generasi seterusnya.