BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan berangkat ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi menghadiri Sidang Kemuncak Iklim Dunia yang akan diadakan pada 1 hingga 2 Disember semasa Persidangan ke-28 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (COP 28).
Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga dijangka akan berangkat menghadiri Sidang Kemuncak Iklim Dunia bersama ketua-ketua negara dan kerajaan yang lainnya.
Sidang kemuncak tersebut, yang juga merupakan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia buat julung kalinya menghadiri peringkat tertinggi COP, mengalu-alukan para pemimpin dunia untuk membentangkan perkembangan dan aspirasi dalam semua tunggak Perjanjian Paris, sekali gus menjana momentum dan bimbingan bagi acara-acara lain yang dianjurkan semasa COP ini.
Selaku hos bagi COP 28, UAE akan memfokuskan kepada empat peralihan paradigma, iaitu mempercepatkan peralihan tenaga dan mengurangkan pengeluaran gas sebelum tahun 2030; melaksanakan transformasi kewangan iklim, dengan memenuhi sasaran sebelum ini dan membentuk rangka kerja untuk perjanjian baharu dalam kewangan; mengetengahkan fokus utama kepada persekitaran, penduduk, nyawa dan kehidupan sebagai tumpuan dalam tindakan iklim; dan mengerahkan COP menjadi sesi yang paling inklusif.
