Sunday, December 22, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Baginda Sultan akan berangkat ke Laos

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan berangkat mengadakan Keberangkatan Negara ke Republik Demokratik Rakyat Laos pada 3 hingga 4 Oktober ini.

    Semasa Keberangkatan Negara ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijangka akan mengadakan perjumpaan-perjumpaan bersama Presiden Republik Demokratik Rakyat Laos, Tuan Yang Terutama Thongloun Sisoulith; Perdana Menteri Republik Demokratik Rakyat Laos, Tuan Yang Terutama Sonexay Siphandone; dan Presiden Perhimpunan Kebangsaan Republik Demokratik Rakyat Laos, Tuan Yang Terutama Xaysomphone Phomvihane.

    Sementara itu, Deklarasi Bersama Perkongsian Strategik antara kerajaan Brunei Darussalam dan kerajaan Republik Demokratik Rakyat Laos juga akan ditandatangani semasa Keberangkatan Negara tersebut.

    Keberangkatan Negara ini merupakan atas undangan daripada TYT Presiden Republik Demokratik Rakyat Laos bagi memperingati ulang tahun ke-30 hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara sejak terjalinnya hubungan berkenaan pada 27 Julai 1993.

    Kali terakhir Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat ke Republik Demokratik Rakyat Laos bagi Keberangkatan Negara adalah pada tahun 1998.

    Di samping itu, Baginda juga berangkat menghadiri Sidang-sidang Kemuncak ASEAN ke-10, ke-28 dan ke-29 masing-masing pada tahun 2004 dan 2016 serta menghadiri Sidang Kemuncak Asia Eropah ke-9 pada tahun 2012, yang mana Republik Demokratik Rakyat Laos selaku Pengerusi bagi Sidang-sidang Kemuncak berkenaan.

    Negara Brunei Darussalam dan Republik Demokratik Rakyat Laos mempunyai hubungan dan persahabatan yang akrab melalui kerjasama dalam pelbagai bidang yang berkepentingan bersama termasuk pendidikan, bantuan teknikal, pertanian, tenaga, kebudayaan, belia dan sukan.

    Gambar fail KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan bergambar bersama Presiden Republik Demokratik Rakyat Laos, TYT Thongloun Sisoulith pada 25 Oktober 2022 di Istana Nurul Iman. – Gambar oleh Infofoto
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda