BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan berangkat ke New York City, Amerika Syarikat pada 21 hingga 24 September ini bagi menghadiri Summit of the Future dan Perdebatan Umum Sesi ke-79 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Dengan bertemakan Summit of the Future: Multilateral Solutions for a Better Tomorrow, sidang kemuncak tersebut akan menghimpunkan para pemimpin dunia untuk meningkatkan kerjasama dalam menangani cabaran-cabaran global semasa dan yang mendatang.
Sidang itu juga menyediakan peluang dalam membina semula kepercayaan bagi kerjasama antarabangsa ke arah membentuk masa depan yang lebih baik untuk semua.
Semasa di New York City, Kebawah Duli Yang Maha Mulia akan berangkat menghadiri Majlis Resepsi sempena memperingati ulang tahun ke-40 keahlian Negara Brunei Darussalam dalam PBB.
Negara Brunei Darussalam menyertai PBB sebagai negara ahli yang ke-159 semasa sesi ke-39 Perhimpunan Agung PBB pada 21 September 1984.
Keahlian Negara Brunei Darussalam dalam PBB telah dapat menyediakan peluang sebagai sebuah negara kecil yang memainkan peranan di arena antarabangsa.
Melalui penglibatan aktif semasa mesyuarat-mesyuarat PBB, sumbangan-sumbangan mandatori dan sukarela serta penglibatan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dalam misi-misi pengaman PBB, Negara Brunei Darussalam juga turut menyumbang kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa serta juga kemakmuran dan kestabilan global.