Gambar oleh Muiz Matdani & Infofoto
BEIJING, 25 April – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, malam ini, selamat berangkat tiba di Beijing, Republik Rakyat China bagi menghadiri Forum Jalur dan Laluan bagi Kerjasama Antarabangsa ke-2 yang akan diadakan pada 26 dan 27 April.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Beijing Capital International Airport dijunjung oleh Timbalan Datuk Bandar Beijing, Tuan Yang Terutama Lin Fusheng dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong serta pegawai-pegawai kanan pemerintah Republik Rakyat China.
Juga hadir bagi menjunjung ke-berangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof; dan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Republik Rakyat China, Lee Kok Ting.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga disembahkan dengan sejambak bunga sebelum berangkat melintasi barisan kawalan kehormatan statik dan seterusnya berkenan menaiki kenderaan khas menuju ke sebuah hotel ternama di Beijing, tempat persemayaman Baginda di sepanjang keberangkatan ini.






Terdahulu, sebelum keberangkatan Baginda Sultan dari Istana Nurul Iman petang tadi, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Berangkat di Hangar Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Rimba bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.
Berangkat sama dan hadir di Hangar Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria; menteri-menteri kabinet; ahli-ahli Majlis Mesyuarat Di-Raja; timbalan-timbalan menteri; pesuruhjaya Polis Diraja Brunei; pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; dan wakil daripada Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam.
Forum Jalur dan Laluan bagi Kerjasama Antarabangsa adalah satu platform kerjasama antarabangsa yang telah diasaskan oleh Republik Rakyat China untuk membantu pertumbuhan dan perkembangan perdagangan bebas.
Inisiatif Jalur dan Laluan ini adalah berlandaskan dengan semangat konsultasi dan kerjasama bagi manfaat kesemua negara-negara yang terlibat khususnya dalam bidang ekonomi, pelaburan dan perdagangan, kesalinghubungan (connectivity), pemberdayaan (empowerment) serta meningkatkan taraf hidup rakyat.