Oleh Syahmi Hassan
DUBAI, 1 DIS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berangkat tiba di Dubai, Emiriah Arab Bersatu bagi menghadiri World Climate Action Summit yang akan diadakan pada hari ini (1 Disember) hingga esok (2 Disember) semasa the 28th Conference of Parties to the United Nations Framework Convention on Climate Change (COP 28).
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Al Maktoum, Dubai dijunjung oleh His Highness Saif bin Zayed Al Nahyan, Timbalan Perdana Menteri dan Minister of Interior, Emiriah Arab Bersatu.

Juga hadir bagi menjunjung keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof; dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Emiriah Arab Bersatu, Tuan Yang Terutama Haji Harun bin Haji Junid.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia akan berangkat menghadiri World Climate Action Summit bersama Ketua-ketua Negara dan Kerajaan yang lainnya, esok.
Sidang Kemuncak tersebut akan mengalu-alukan para pemimpin dunia untuk membentangkan perkembangan dan aspirasi dalam semua tunggak Perjanjian Paris, sekaligus menjana momentum dan bimbingan bagi acara-acara lain yang dianjurkan semasa COP ini.
