BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berangkat tiba Jakarta, Republik Indonesia hari ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan yang akan berlangsung pada 5 hingga 7 September.
Berangkat mengiringi Ke-bawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta dijunjung oleh Menteri Komunikasi dan Informatika, Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Budi Arie Setiadi.
Juga hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof; dan Kuasausaha Sementara, Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Republik Indonesia, Dayang Yuhanizah binti Dato Paduka Dr Haji Ismail.
Terdahulu, sebelum berangkat dari Istana Nurul Iman, di ibu negara, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Berangkat di Hangar Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Rimba bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah kerabat diraja.
Turut berangkat dan hadir sama ialah pengiran-pengiran cheteria, penasihat khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia, menteri-menteri kabinet, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Diraja, timbalan-timbalan menteri, pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan pemangku pesuruhjaya polis.
Sidang Kemuncak ASEAN yang dipengerusikan oleh Republik Indonesia akan menghimpunkan ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN dan rakan-rakan dialog ASEAN yang lainnya bagi meneruskan perbincangan mengenai pembangunan ASEAN dan me-ngukuhkan kerjasama bersama rakan-rakan dialog termasuk menumpukan isu-isu yang berkepentingan bersama.