Monday, May 12, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Baginda Sultan berangkat tiba di Laos

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berangkat tiba di Vientiane, Republik Demokratik Rakyat Laos bagi mengadakan Keberangkatan Negara selama dua hari bermula esok.

    Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Keberangkatan tiba Baginda Sultan di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay, Vientiane dijunjung oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri, Tuan Yang Terutama Saleumxay Kommasith selaku menteri pengiring; Ketua Pejabat Presiden, Khemmany Polsena; Datuk Bandar Vientiane, Athsphangthong Siphandone dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Rakyat Laos ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Sengdavanh Vongsay.

    Juga hadir bagi menjunjung keberangkatan tiba ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Demokratik Rakyat Laos, Tuan Yang Terutama Haji Roslan bin Haji Yacub.

    Terdahulu, sebelum berangkat dari Istana Nurul Iman, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    Berangkat di Hangar Pener-bangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Rimba bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Baginda Sultan ialah kerabat diraja.

    Berangkat sama dan hadir di hangar penerbangan berkenaan ialah Pengiran-pengiran Cheteria, Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara, menteri-menteri kabinet, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Diraja, timbalan-timbalan menteri, Pesuruhjaya Polis dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

    Keberangkatan Negara berkenaan merupakan atas undangan daripada Presiden Republik Demokratik Rakyat Laos, Tuan Yang Terutama Thongloun Sisoulith bagi memperingati Ulang Tahun ke-30 Hubungan Diplomatik antara kedua-dua buah negara sejak terjalinnya hubungan berkenaan pada 27 Julai 1993.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay, Republik Demokratik Rakyat Laos. Berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen. – Gambar oleh Infofoto
    Doa Selamat dibacakan sebelum Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat diraja berangkat meninggalkan Istana Nurul Iman. – Gambar oleh Muiz Matdani & Infofoto
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan menerima junjung ziarah semasa ketibaan di hotel persemayaman. – Gambar oleh Muiz Matdani & Infofoto
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan melambaikan tangan sebelum berangkat memasuki pesawat. Berangkat sama, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen. – Gambar oleh Muiz Matdani & Infofoto
    Gambar oleh Muiz Matdani & Infofoto
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan berangkat ke Hangar Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Rimba. – Gambar oleh Muiz Matdani & Infofoto

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda