LONDON, UNITED KINGDOM, 1 DIS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berangkat tiba di London, United Kingdom bagi menghadiri Majlis Tamat Latihan Kursus All Arms Commando (AACC) Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Majlis Perjumpaan Dua Hala bersama Perdana Menteri United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland, Tuan Yang Terutama Boris Johnson yang akan berlangsung pada 2 dan 3 Disember.
Hadir di Lapangan Terbang Heathrow bagi menjunjung Kebawah Duli Yang Maha Mulia semasa keberangkatan tiba ialah Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama John Virgoe.
Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof serta Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke United Kingdom dan Eire, TYT Laksamana Pertama (B) Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi bin Pengiran Haji Muhammad.