Oleh Syahmi Hassan
SAN FRANCISCO, 16 NOV – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berangkat tiba di San Francisco, Amerika Syarikat bagi menghadiri Asia-Pacific Economic Leaders’ Meeting (AELM) yang berlangsung pada 15 hingga 17 November 2023.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco dijunjung oleh Assistant Chief of Protocol, State Department Amerika Syarikat.
Juga hadir bagi menjunjung keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof; dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Amerika Syarikat, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Serbini bin Ali.
Sejurus keberangkatan tiba di hotel persemayan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.
Amerika Syarikat adalah tuan rumah bagi Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC) pada tahun 2023 yang membawakan tema ‘Mewujudkan Masa Depan yang Berdaya tahan dan Mampan untuk Semua’ (Creating a Resilient and Sustainable Future for All).
AELM akan dipengerusikan oleh Presiden Amerika Syarikat, Tuan Yang Terutama Joseph R. Biden Jr. sebagai Pengerusi APEC bagi tahun 2023.
Perbincangan semasa AELM dijangka akan termasuk kemampanan, iklim, peralihan tenaga yang adil, kesalinghubungan dan membina ekonomi yang inklusif serta berdaya tahan.