Oleh Abdul Hakiim Yakof
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Julai – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan and Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat menziarahi jenazah Allahyarham Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Ismail ibni Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Muda Haji Hashim yang telah kembali ke rahmatullah petang tadi pada usia 81 tahun.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah berkenan menunaikan sembahyang jenazah bersama para pembesar negara lain yang diimamkan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Dilahirkan pada 21 Januari 1936, Allahyarham meninggal dunia di kediamannya di Kampung Jerudong dan meninggalkan seorang isteri, Pengiran Hajah Nooralam binti Pengiran Haji Tengah, enam orang anak dan 21 orang cucu.
Allahyarham merupakan bekas Aide-de-camp (ADC) Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan bintang-bintang kebesaran dan pingat-pingat kehormatan yang dikurniakan kepada Allahyarham sepanjang hayatnya termasuk Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia (S.M.B) dan Pingat Omar Ali Saifuddien (P.O.A.S).
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Makam Diraja, Jalan Kubah Makam Diraja, dekat ibu negara.