Baginda Sultan berkenan pengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN 26 Okt ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OKT – Berikutan situasi pandemik COVID-19 yang masih belum stabil di rantau ini, Negara Brunei Darussalam akan menghoskan Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan secara maya melalui persidangan-persidangan video.

Menurut kenyataan yang diterima, hari ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun 2021 akan berangkat mempengerusikan sebanyak 11 sidang kemuncak yang bakal berlangsung pada 26 hingga 28 Oktober ini.

Sidang Kemuncak ASEAN yang bertemakan We Care, We Prepare, We Prosper itu antara lainnya akan mengetengahkan agenda-agenda seperti memperkukuhkan lagi kedayatahanan Komuniti ASEAN ke arah pemulihan serantau dari pandemik COVID-19; meningkatkan kesediaan ASEAN dalam menangani cabaran; merebut peluang baharu untuk mencapai kemakmuran bersama; dan mengekalkan kerjasama ke arah mencapai matlamat jangka panjang.

Sidang kemuncak berkenaan dijangka akan disertai oleh para pemimpin ASEAN dan rakan-rakan dialog ASEAN seperti Republik Rakyat China, Jepun, Republik Korea, Republik India, Amerika Syarikat, Australia dan Persekutuan Rusia.