Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 NOV – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menerima Anugerah AFEO Distinguished Honorary Patron daripada Persekutuan Pertubuhan Kejuruteraan ASEAN (AFEO).
Lembaga Pengelola AFEO yang terdiri daripada ketua-ketua pertubuhan ahli AFEO telah sebulat suara memutuskan untuk mencalonkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi anugerah berkenaan.
Menurut kenyataan AFEO, anugerah itu adalah sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian dan pembangunan sosial, ekonomi dan kejuruteraan yang luar biasa Negara Brunei Darussalam di bawah kepimpinan bijaksana Baginda Sultan.
AFEO Distinguished Honorary Patron adalah anugerah AFEO yang paling berprestij dan tertinggi serta hanya dianugerahkan kepada ketua-ketua negara dan kerajaan yang memerintah yang diiktiraf dan bertaraf tinggi yang telah memberikan perkhidmatan dan sumbangan sangat besar dan cemerlang kepada profesion kejuruteraan, AFEO dan Komuniti ASEAN.
Penganugerahan itu diumumkan pada Majlis Perasmian Persidangan Persekutuan Pertubuhan Kejuruteraan ASEAN ke-39 (CAFEO 39) yang dihoskan oleh Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek Negara Brunei Darussalam (PUJA) dari 29 November hingga 3 Disember ini dengan tema ‘Kejuruteraan dan Perubahan Iklim’.
Tema dipilih kerana perubahan iklim kekal sebagai cabaran terbesar pada abad ke-21 dan kesannya mula dirasakan di seluruh dunia.
Adalah penting untuk jurutera berada di barisan hadapan dalam hal ini, memainkan peranan asas dan aktif dalam mengurangkan kesan kepada perubahan iklim.
Ini sungguh bertepatan dengan tema pengerusi Brunei bagi ASEAN iaitu We Care, We Prepare, We Prosper; dan menyusuli Persidangan Perubahan Iklim PBB 2021 (COP 26) yang baru sahaja berakhir.
CAFEO 39 diadakan secara maya di ICC telah dirasmikan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar dan dihadiri oleh peserta tempatan dan antarabangsa termasuk ketua-ketua pertubuhan kejuruteraan ASEAN.
Majlis turut menyaksikan pengurniaan Anugerah AFEO Distinguished Honorary Fellow dan Anugerah AFEO Honorary Fellow yang disampaikan oleh Presiden PUJA (Brunei) dan Pengerusi AFEO, Ir Haji Mohammad Zin bin Haji Salleh. Anugerah itu diberikan kepada mereka telah memberikan perkhidmatan besar, cemerlang dan berjasa kepada profesion kejuruteraan, institusi dan negara-negara ASEAN. Penerima Anugerah AFEO Distinguished Honorary Fellow ialah Menteri Tenaga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein.
Sementara itu, penerima-penerima Anugerah AFEO Honorary Fellows ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar; Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi, Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Naib Canselor Universiti Teknologi Brunei, Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman; dan, Decommissioning and Restoration Manager Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Haji Idris Mohd Jaafar.
Majlis turut menyaksikan tiga ucaptama daripada Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny; Profesor Dr Hajah Zohrah; dan Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Malaysia, Dato’ Seri Ir Dr Zaini bin Ujang.
CAFEO 39 akan menyaksikan pelbagai aktiviti termasuk mesyuarat Lembaga Pengelola AFEO, Pembentangan Kertas Teknikal dan Laporan Negara, Forum Tenaga, Dialog Jurutera Muda, Sidang Kemuncak Jurutera Wanita 2021 dan Anugerah Pencapaian Cemer-lang Kejuruteraan ASEAN, beberapa hari akan datang.