Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 FEB – Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam memajukan dan meningkatkan prestasi ekonomi, Negara Brunei Darussalam masih sahaja mampu menghasilkan kejayaan dalam bidang-bidang tertentu yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) termasuk usaha ke arah kepelbagaian ekonomi.
“Menyebut mengenai kepelbagaian ekonomi, berdasarkan fakta, bahawa usaha Kerajaan telah pun menunjukkan pencapaian positif KDNK dalam sektor bukan minyak dan gas sejak tahun 2017 dengan purata pertumbuhan sebanyak 4.3 peratus setahun.”
“ Ini bermakna sektor ini telah meningkatkan sumbangannya kepada KDNK dari 43 peratus pada tahun 2017 kepada 54 peratus pada tahun 2023. Dalam tempoh pertumbuhan sektor tersebut, yang secara purata didorong oleh sektor industri petrokimia pada kadar 44.5 peratus, diikuti oleh sektor kewangan sebanyak 5.3 peratus dan sektor perdagangan tempatan sebanyak 3.5 peratus.”
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah dalam Titah Perutusan Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-41, Tahun 2025 yang disiarkan di saluran radio dan televisyen seluruh negara kelmarin.
Terdahulu Baginda Sultan bertitah bahawa setiap kali tibanya Hari Kebangsaan, kita bukan sahaja meraikan kemerdekaan, tetapi juga dituntut untuk muhasabah diri.
“Kita perlu bertanya kepada diri sendiri: Apakah kita sudah benar-benar memahami erti kemerdekaan?”
Baginda bertitah, “ Perlu diingat, kemerdekaan bukanlah setakat untuk memperingati detik berlakunya pada setiap tahun. Tetapi perlu juga difahami bahawa kemerdekaan adalah tanggungjawab untuk memelihara perpaduan dan membangun negara menjadi sebuah negara yang aman dan makmur.”
“Oleh itu, eloklah kita merenung: Apakah sumbangan yang telah kita sumbangkan dalam mempertahankan kemerdekaan, serta bagaimanakah pula caranya untuk kita dapat memastikan bahawa kemerdekaan yang telah dan sedang kita nikmati akan terus terpelihara untuk anak cucu kita?”
Sesungguhnya, memahami erti kemerdekaan adalah bermula dari menghargai pengorbanan mereka yang telah berjuang, titah Baginda Sultan lagi, dengan kita pula berganding bahu mengisi kemerdekaan yang ada, tanpa mengira kaum, ugama dan latar belakang.
Baginda Sultan bertitah bahawa selain kemajuan berkaitan ekonomi negara, sehingga hari ini, Kerajaan Baginda masih berupaya untuk menyediakan perkhidmatan pendidikan, kesihatan, keselamatan, prasarana awam serta keperluan-keperluan asas bagi kepentingan dan kesejahteraan seluruh rakyat dan penduduk negara ini.
“Sangat musatahak juga diingat, bahawa sesebuah negara adalah ibarat sebuah rumah besar. Kekuatannya bukan sahaja bergantung pada tiang dan dinding yang kukuh, tetapi juga setiap penghuninya mestilah sama-sama bertanggungjawab untuk menjaga dan memeliharanya.”
Baginda bertitah kejayaan dan kemakmuran negara tidak hanya terletak di bahu Kerajaan semata-mata, bahkan setiap lapisan masyarakat mesti turut berperanan sama.
“Sebagai warganegara yang baik, tidak siapa pun yang boleh berkecuali dalam membangun negara. Banyak atau sedikit sumbangan masing-masing, itulah jasa dan pengorbanan namanya.”
“Di samping kita juga memahami, bahawa setiap pencapaian yang besar memerlukan cita-cita dan usaha yang tidak mengenal luntur. Selagi kita berkongsi cita-cita yang sama, berdiri sebagai satu pasukan dan bekerja keras, maka kita pasti akan dapat menjulang kejayaan dan kecemerlangan.”
Baginda Sultan seterusnya bertitah, “Kita juga sedar, dalam menempuh era digital masa kini, setiap pihak khasnya generasi muda perlu merebut peluang dengan melengkapi diri dengan kemahiran teknologi terkini.”
“Ini boleh sahaja dilakukan melalui pemikiran yang progresif dan inovatif serta kesungguhan untuk berubah, lalu untuk itu, adalah penting untuk memupuk sikap berdikari sebagai asas meraih kejayaan dalam pembangunan.”
Baginda Sultan bertitah menyeru setiap lapisan masyarakat untuk bersama-sama memainkan peranan dalam membina masa depan yang lebih cerah untuk kita hari ini dan generasi yang akan datang.
“Semoga dengan semangat patriotisme dan perpaduan, kita akan dapat mencapai wawasan negara yang mampan, maju dan inklusif.”
