Sunday, October 6, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Baginda Sultan saran tingkatkan usaha melihara akal

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JULAI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW tidak dapat dinilai dengan harga melainkan ianya membawa mesej pengajaran yang termahal dalam sejarah.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan bertitah sempena Tahun Baru Hijrah 1446, kelmarin, dan dalam titah Baginda turut berharap tahun 1446 Hijrah ini akan memberikan semangat baharu untuk kita menjalani kehidupan berbakti.

    Selain itu, titah KDYMM turut menyentuh mengenai konsep hijrah yang tidak hanya sekali berlaku, malah ianya berterusan berlaku.

    Dengan tema sambutan tahun ini, ‘Memelihara Akal’ dan tema ini bagus menurut titah Baginda, kerana akal menentukan kesempurnaan hidup, manakala akal sihat, akan sihatlah hidup, dan akal rosak, maka rosaklah hidup.

    “Konsep memelihara akal dapat dihubungkan dengan hukum pengharaman benda-benda yang memabukkan dan manusia yang mabuk bererti akalnya sedang bermasalah,” tegas Baginda Sultan.

    Orang yang mabuk sama ada mabuk kerana arak atau ganja atau dadah, tegas Baginda, semua menjadi alamat bahawa akal orang yang mabuk itu adalah rosak, dan kerana itu ugama Islam sangat bertegas mengharamkan benda-benda yang memabukkan.

    Baginda Sultan seterusnya bertitah menyentuh mengenai akal yang mana ianya berkaitan dengan mental dan pada akhir-akhir ini, kesihatan mental banyak diperkatakan.

    Ke arah itu, usaha bersepadu Kerajaan Baginda dalam menangani isu kesihatan mental yang semakin meningkat dan membimbangkan amat di alu-alukan.

    Baginda turut difahamkan bahawa terdapat lebih 11,000 pesakit yang terdiri daripada kanak-kanak hingga dewasa sedang menerima rawatan Perkhidmatan Psikiatri dan Psikologi Klinikal di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

    Titah Baginda turut menyarankan agar usaha-usaha yang sedia ada perlu dipertingkatkan supaya isu ini dapat ditangani dengan lebih berkesan.

    KDYMM mahu program kesihatan mental secara saintifik dan kerohanian diaktifkan melalui pendidikan terutama pendidikan ugama dan dakwah secara berterusan dan ini adalah antara konsep hijrah iaitu untuk mengubah atau membaiki perkara negatif kepada positif.

    Di sinilah paksi amalan melalui penghijrahan dan maksud Baginda penghijrahan itu elok dilakukan secara bersama sebagai cara hidup untuk memperoleh perubahan terbaik dalam kehidupan.

    Pada akhir titah Baginda Sultan sempena Tahun 1446 Hijrah, Baginda dan keluarga Baginda dengan amat sukacita mengucapkan Selamat Menyambut Ilal Hijrah 1446 kepada seluruh lapisan masyarakat di negara ini dan semoga Allah melimpahkan rahmat kepada semua berupa keamanan, kesihatan, kesejahteraan dan kemakmuran.


    TITAH Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Menyambut Awal Tahun Baru Hijrah 1446. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda