BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Nov – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah perutusan tahniah kepada Tuan Yang Terutama Shinzo Abe, berikutan pelantikannya semula sebagai Perdana Menteri Jepun.
Dalam titah perutusan tersebut, Baginda Sultan menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam dan Jepun terus menikmati kerjasama yang akrab di dalam pelbagai bidang termasuk bidang tenaga, perdagangan, pelaburan serta pertukaran di antara rakyat kedua-dua negara.
Baginda seterusnya menghargai komitmen peribadi dan sumbangan Tuan Yang Terutama dalam mempertingkatkan hubungan dua hala yang sangat bernilai dan seterusnya berharap akan dapat bekerja sama dengan Tuan Yang Terutama dalam mengukuhkan perkongsian serantau terutama dalam menanai peranan bersama sebagai ‘Country Coordinator for ASEAN-Japan Dialog Relations’.
Pada mengakhiri titah perutusan itu, Baginda menyampaikan salam muhibah kepada Tuan Yang Terutama dan semoga Tuan Yang Terutama akan sentiasa beroleh kejayaan dalam penggal baharunya sebagai perdana menteri.