Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah telah berkenan menghantar perutusan tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Maharaja Naruhito, sempena dengan baginda menaiki takhta sebagai Maharaja Jepun berikutan dengan turun takhta Kebawah Duli Yang Maha Mulia Maharaja Akihito sebagai Maharaja Jepun baru-baru ini.
Dalam titah perutusan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Maharaja Naruhito, Baginda Sultan menyatakan bahawa persahabatan yang sekian lama terjalin di antara kedua-dua kerabat diraja akan sentiasa disemai dan berharap dapat terus mengukuhkan lagi persahabatan tersebut dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Maharaja Naruhito.
Baginda seterusnya melahirkan rasa keyakinan bahawa permulaan era Reiwa di bawah pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Maharaja Naruhito akan terus membawa kemajuan dan kesejahteraan kepada rakyat Jepun.
Dalam titah perutusan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Maharaja Emeritus Akihito, Baginda Sultan seterusnya menyatakan bahawa pemerintahan baginda adalah merupakan simbol kesatuan nasional dan pengukuhan sosial bagi rakyat Jepun untuk beberapa dekad. Baginda juga bertitah bahawa kedua-dua buah negara telah menikmati hubungan mesra yang sekian lama terjalin termasuklah di kalangan kerabat diraja dan berharap terus mengukuhkan hubungan tersebut dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Maharaja Naruhito.
Pada mengakhiri perutusan itu, Baginda Sultan menyampaikan salam muhibah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Maharaja Naruhito dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Maharaja Emeritus Akihito, dan berharap agar baginda berdua serta kerabat diraja akan sentiasa diberikan kesihatan dan kebahagiaan yang berpanjangan.