Baginda Sultan utus tahniah kepada Indonesia

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah perutusan tahniah kepada Presiden Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Dato Laila Utama Joko Widodo serta kerajaan dan rakyat Republik Indonesia bersempena dengan Hari Kemerdekaan ke-74 negara itu.

Dalam titah perutusan kepada TYT Dato Laila Utama Joko Widodo itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berpuas hati dengan hubungan silaturahim dan persahabatan yang erat lagi mesra yang terjalin antara kedua-dua buah negara dan juga rakyat kedua-dua negara.

Baginda yakin hubungan yang bernilai ini akan sentiasa terpelihara dan dipertingkatkan lagi di peringkat dua hala mahupun di peringkat serantau dan antarabangsa demi kepentingan bersama.

Pada mengakhiri titah perutusan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha menyampaikan salam sejahtera dan berdoa semoga Allah SWT mengurniakan TYT Dato Laila Utama Joko Widodo dan Datin Hajah Iriana, kesihatan dan kebahagiaan yang berpanjangan dan rakyat Republik Indonesia akan terus menikmati kemakmuran dan kesejahte-raan yang berpanjangan.