BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Nov – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah-titah perutusan kepada Raja Kemboja, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Norodom Sihamoni dan Perdana Menteri, Tuan Yang Terutama Samdech Akka Moha Sena Padei Techo Hun Sen, kerajaan dan rakyatnya sempena Hari Kemerdekaan Kemboja yang ke-64 tahun.
Dalam titah perutusan kepada Raja Kemboja, Baginda Sultan menzahirkan penghargaan terhadap hubungan persahabatan dan kerjasama mesra yang telah dinikmati oleh kedua-dua negara dan seterusnya berharap ia akan dapat diteruskan pada tahun-tahun mendatang.
Sementara dalam titah perutusan kepada Perdana Menteri Kemboja, Baginda Sultan amat menghargai kehadiran Tuan Yang Terutama semasa Perayaan Jubli Emas Baginda bulan lepas, yang mana ia merupakan petanda terhadap keakraban hubungan persahabatan yang sekian lama wujud di antara kedua-dua negara.
Baginda seterusnya berharap agar dapat terus bekerjasama dengan Tuan Yang Terutama bagi mengukuhkan lagi perhubungan yang sangat berharga dalam rakan kongsi dan dua hala dalam ASEAN.
Pada mengakhiri titah-titah perutusan tersebut, Baginda Sultan menyampaikan salam muhibah dan berharap semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Norodom Sihamoni akan terus berada dalam keadaan sihat sejahtera dan kebahagiaan dan begitu juga kepada Tuan Yang Terutama Samdech Akka Moha Sena Padei Techo Hun Sen dan keluarga serta rakyat Kemboja akan terus mendapat kemakmuran yang berpanjangan dan penuh kegembiraan meraikan Hari Kemerdekaan.