BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Ogos – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah-titah perutusan tahniah kepada Yang Di-Pertuan Agong Malaysia, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V dan kepada Perdana Menteri Malaysia, Dato Laila Utama Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Razak, serta kerajaan dan rakyat Malaysia bersempena dengan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Malaysia ke-60 tahun.
Dalam titah perutusan tersebut, Baginda yakin di bawah kepimpinan Sultan Muhammad V, kerajaan serta rakyat Malaysia akan terus menikmati kestabilan dan kemakmuran yang berpanjangan.
Baginda menghargai hubungan silaturahim serta kerjasama erat dan mesra yang telah sekian lama terjalin di antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia yang mana Baginda yakin hubungan ini akan terus berkekalan dan dipertingkatkan lagi pada masa-masa akan datang demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat kedua-dua buah negara.
Sementara itu dalam titah perutusan Baginda kepada Perdana Menteri Malaysia, Baginda menitahkan bahawa sepanjang jangka tempoh tersebut, rakyat Malaysia telah menikmati kestabilan dan kemakmuran yang berpanjangan berkat usaha gigih serta dedikasi pemimpin dan kerajaan Malaysia dalam meningkatkan imej negara di persada dunia.
Negara Brunei Darussalam dan Malaysia menikmati tali persaudaraan dan jalinan persahabatan yang akrab dan mesra dan seterusnya Baginda yakin bahawa kedua-dua belah pihak akan terus memupuk dan mengukuhkan lagi hubungan tersebut pada masa-masa akan datang. Pada mengakhiri titah-titah perutusan tersebut, Baginda dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berdoa semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong serta kerabat diraja sentiasa berada dalam keadaan sihat wal’afiat dan di bawah pemeliharaan Allah Subhanahu Wataala jua.
Begitu juga kepada Dato Laila Utama Datuk Seri Mohd Najib, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor dn keluarga serta kerajaan dan rakyat Malaysia semoga sentiasa menikmati keamanan dan kemakmuran yang berpanjangan.