SEPANG, 1 NOV – Juara dunia dua kali Francesco Bagnaia mengekalkan momentum cemerlang untuk menguasai latihan rasmi MotoGP Grand Prix (GP) Malaysia 2024 pada sebelah petang, di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini.
Bagnaia daripada Ducati Lenovo Team mencatat masa terpantas satu minit 57.679 saat (s) pada pusingan ke-16 untuk meninggalkan Jorge Martin daripada Prima Pramac Racing (1:57.729s) di tempat kedua, manakala Enea Bastianini daripada Ducati Lenovo Team di kedudukan ketiga (1:57.877s).
Mengulas mengenai latihan rasmi itu, Bagnaia berkata dia gembira kerana berjaya bangkit daripada detik mencabar, berikutan masalah tayar belakang semasa latihan rasmi pagi tadi untuk menguasai kedudukan dan meneruskan penguasaan pada sebelah petang.
“Tetapi rentak (pada latihan rasmi) adalah baik dan perasaan saya juga baik. Saya memulakan latihan rasmi sebelah petang dalam situasi yang sangat teruk, kerana saya tahu penggunaan tayar belakang di litar ini satu isu besar. Penting untuk bermula dalam situasi yang buruk, ketinggalan dan cuba untuk kekal kompetitif, dan ia berjalan dengan sangat baik,” katanya.
Pada aksi latihan rasmi Moto2 pula, pelumba Sepanyol, Manuel Gonzalez daripada Gresini Moto2 mencatat masa terpantas 2:05.576s.
Filip Salac daripada ELF Marc VDS Racing Team kedua terpantas (2:05.909s), dan Deniz Oncu daripada Red Bull KTM Ajo ketiga terpantas (2:05.944s).
Dua pelumba Malaysia yang beraksi menerusi tiket peluang khas mewakili Petronas MIE Racing RW, Muhammad Helmi Azman dan Khairul Idham Pawi gagal menampilkan prestasi cemerlang seperti yang diharapkan pada latihan rasmi pagi tadi apabila masing-masing kekal di kedudukan ke-29 (2:08.727s) dan terakhir (2:10.045s). – Bernama