JEREZ DE LA FRONTERA, SEPANYOL, 1 MEI – Pelumba Ducati, Francesco Bagnaia mempamerkan prestasi terbaiknya dengan memenangi petak pertama MotoGP Sepanyol dengan rekod perlumbaan baharu di Jerez, kelmarin.
Pelumba Itali itu 0.453 saat lebih pantas daripada penyandang juara dunia dan pendahulu kejuaraan semasa, Fabio Quartararo dengan pu-singan terpantas 1 minit 36.17 saat.
Pasangan itu akan bermula di petak sama di litar Jerez hari ini dalam GP ke-6 musim 21 perlumbaan.
Bagnaia yang berusia 25 tahun menewaskan Quartararo di tempat kedua untuk kejuaraan pada 2021 tetapi mencatat permulaan yang teruk musim ini sebelum mengisytiharkan bahawa dia mula berasa lebih baik berlumba dengan motosikal selepas menamatkan saingan di tempat kelapan dalam perlumbaan di Portugal hujung minggu lalu.
Juara dunia bertahan Quartararo menang pada hujung minggu lalu dan gembira dengan tempat kedua di belakang pelumba Ducati kelmarin.
“Misi tercapai. Saya tidak menjangka berada di tempat kedua dengan ketinggalan setengah saat di belakang,” kata pelumba Perancis itu.
“Saya tidak pasti apa yang kurang, tetapi kami bukan satu-satunya yang bergelut di pusingan terakhir.”
Pelumba Suzuki Alex Rins adalah pendahulu bersama dalam kedudukan selepas lima perlumbaan GP tetapi bergelut dalam pusingan kelayakan dan akan bermula dari petak ke-14. – AFP