Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 NOV – Bagi memohon keselamatan untuk penduduk Palestin, Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Hal Ehwal Muslimah dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong telah mengadakan Majlis Bacaan Surah Yasin dan Ratib Al-Attas serta Doa untuk kelas bimbingan Muslimah seluruh negara.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah itu ialah isteri Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Hajah Nahriah binti Haji Awang Asbi.
Turut hadir ialah isteri-isteri Yang Berhormat Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU serta Muslimah masjid senegara.
Antara tujuan acara adalah untuk menzahirkan rasa kasih kepada penduduk Palestin dan membantu mereka melalui doa-doa yang dipanjatkan kehadrat Allah SWT, di samping mendorong para Muslimah untuk mengamalkan doa dan wirid ketika ditimpa musibah dan mendoakan saudara-saudara yang menghadapi kesusahan.
Acara juga diselajurkan dengan kutipan derma berupa kewangan daripada para Muslimah yang hadir untuk Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023.
Majlis ini juga dihasratkan untuk menyemai rasa tanggungjawab bagi sama-sama membantu saudara yang berada di Gaza dengan menghulurkan bantuan berupa kewangan sekali gus mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan Muslimah masjid senegara.
Semoga dengan adanya program seumpamanya akan dapat memberikan kesedaran kepada para Muslimah untuk sentiasa menyerahkan diri kepada Allah dalam setiap waktu terutama ketika menghadapi musibah dengan memperbanyakkan zikir, doa, wirid serta bertawakal ke hadrat Allah SWT.