TOKYO, 7 APRIL — Sebuah bot penyelamat yang tidak digunakan, pintu dan serpihan lain dipercayai dari helikopter tentera Jepun ditemui selepas Black Hawk yang membawa 10 anak kapal itu dipercayai terhempas di laut, kata pegawai, hari ini.
Menteri Pertahanan, Yasukazu Hamada, nampaknya bergelut untuk menahan sebak, memberitahu pemberita bahawa tiada seorang pun anak kapal yang hilang ditemui ketika pencarian diteruskan pada hari ini.
Beliau berkata kemalangan itu dipandang serius olehnya dan akan mengambil semua langkah berjaga-jaga untuk operasi selamat pesawat Pasukan Pertahanan Diri. “Kami akan melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan 10 orang yang masih hilang, sambil terus mengumpul maklumat berkaitan tahap kerosakan,” katanya.
Helikopter Black Hawk UH-60JA hilang pada petang kelmarin ketika dalam misi peninjauan di kepulauan selatan Jepun, menurut ketua Angkatan Pertahanan Diri Darat (GSDF), Yasunori Morishita.
Ia hilang dari radar hanya 10 minit selepas berlepas dari pangkalan di Pulau Miyako dan dipercayai terhempas ke dalam air antara Miyako dan Pulau Irabu berdekatan di barat laut.

Kawasan ini adalah kira-kira 1,800 kilometer barat daya Tokyo.
Kapal peronda pengawal pantai menemui sebuah bot penyelamat yang tidak digunakan yang nombor sirinya sepadan dengan helikopter yang hilang dan pintu yang dipercayai milik pesawat yang sama berhampiran lokasi yang dianggap nahas, kata pegawai tentera.
Jepun secara agresif meningkatkan keupayaan pertahanannya di kepulauan barat dayanya sebagai tindak balas terhadap aktiviti ketenteraan China yang semakin kerap di rantau itu, termasuk berhampiran Taiwan.
Menurut GSDF, helikopter itu telah menjalani pemeriksaan keselamatan rutin pada akhir Mac. Tiada kelainan ditemui semasa penerbangan ujian berikutnya atau dalam perjalanannya dari pangkalan asalnya di Kumamoto ke pulau Miyako. – AP

