Oleh Daniel Lim
BELAIT, 5 OKT – Setelah ditubuhkan pada 2000, Bahagian Wanita Persatuan Foochow, Kuala Belait meraikan ulang tahunnya yang ke-20, kelmarin, dengan majlis yang diadakan di bangunan persatuan tersebut di Kuala Belait.
Antara yang hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Persatuan Foochow, Tan Tei Tei bersama beberapa orang pengerusi kehormat tetap dan penasihat persatuan.
Ketua Bahagian Wanita, Agnes Hwong dalam ucapan alu-aluannya mengongsikan bahawa bahagian berkenaan bermula pada 2000 dengan kumpulan kecil wanita mencadangkan penubuhan bahagian wanita yang akhirnya membawa kepada pembentukannya pada 5 Oktober 2001.
“Sejak itu, kami mempunyai 23 orang ahli dari pelbagai peringkat kehidupan yang mempunyai satu persamaan, sebagai wanita Foochow, dan kami berharap untuk menggalakkan lebih ramai menyertai ketika kami terus mengembangkan perhubungan dan berkongsi pengetahuan, demi matlamat menghimpunkan wanita,” ujarnya.
Sementara itu, Tan Tei Tei dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada bahagian berkenaan atas 20 tahun pencapaian membantu mewujudkan peluang bagi wanita-wanita dalam komuniti Foochow untuk berkembang maju dalam membangunkan perhubungan dan penganjuran aktiviti bagi memanfaatkan lagi masyarakat.
Beliau turut mengambil kesempatan untuk menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerajaan Baginda kerana usaha-usaha yang dibuat dalam menangani COVID-19 dan pelan de-escalation yang sedang dilaksanakan telah membolehkan mereka meraikan pencapaian berkenaan.
Majlis diteruskan dengan upacara memotong kek yang diketuai oleh Agnes Hwong diikuti dengan bergambar ramai dan menikmati hidangan.