PARIS, 26 MAC – Lingkaran biru dan putih yang kelihatan di langit di seluruh Eropah Isnin lalu telah dicipta oleh bahan api beku yang jatuh dari roket SpaceX, menurut peramal cuaca dan saintis.
Jabatan Kajicuaca United Kingdom (UK) berkata pada X ia telah menerima banyak laporan tentang lingkaran bercahaya di langit Isnin lalu yang mungkin disebabkan oleh roket yang telah dilancarkan sebelum ini dari Cape Canaveral di Florida.
“Jangan panik! Tidak, ia bukan UFO tetapi bahan gas roket SpaceX Falcon 9,” kata peramal cuaca negara Perancis, Meteo France, di tengah Lembah Loire di negara itu.
Beberapa gambar lingkaran turut disiarkan oleh pengguna media sosial di negara-negara termasuk Sweden, Poland, Hungary dan Croatia.
Orang ramai di seluruh Eropah mungkin berpeluang melihat fenomena itu selagi ia tidak dilindungi awan, kata saintis James O’Donoghue dari Universiti Reading UK kepada AFP.
Lingkaran itu dicipta selepas penggalak peringkat pertama roket, yang telah dilancarkan dari Bumi, kemudian terpisah dan peringkat atas pula mengambil alih, katanya.
Apabila roket jatuh semula ke bumi, ia mengeluarkan sisa bahan api, yang membeku menjadi kristal pemantul.
“Kristal ini menangkap cahaya matahari, mencipta corak lingkaran terang di langit,” kata O’Donoghue.
“Bentuk lingkaran itu berlaku kerana roket yang jatuh tersebut berputar ketika ia mengeluarkan bahan api,” tambahnya. – AFP
