Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Feb – Minggu Gastronomi Brunei 2019 yang bakal membuka tirainya pada 23 Februari hingga 10 Mac depan akan mengetengahkan masakan berasaskan kunyit, telah pun dirasmikan pada majlis yang diadakan di Dewan Setia Pahlawan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), hari ini.
Pelancarannya telah disempurnakan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong sekali gus menyampaikan sijil kepada wakil-wakil agensi yang terlibat.
Turut hadir ialah setiausaha tetap di KSSUP, para perwakilan asing, ahli-ahli Lembaga Pelancongan Brunei, wakil restoran, hotel dan agensi pelancongan yang terbabit.
Acara berkenaan merupakan inisiatif KSSUP dan Lembaga Pelancongan Brunei bersempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke-35, di mana KSSUP telah bekerjasama dengan beberapa buah hotel dan restoran di negara ini termasuklah Syarikat Penerbangan Diraja Brunei dan Persatuan Ejen Pelancongan.
Acara berkenaan akan diadakan di kesemua hotel dan restoran yang menyertai dengan menumpukan sasaran kepada para pelawat tempatan dan antarabangsa.
Terdahulu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa objektif acara tersebut adalah untuk meraikan Brunei dan mewujudkan kesedaran terhadap masakan Brunei dengan cara yang lebih moden, untuk meningkatkan lagi rasa dan meningkatkan persembahan hidangan Brunei serta memberi pengalaman gastronomi yang unik kepada para pengunjung di negara ini.
Menurut beliau, Minggu Gastronomi Brunei 2019 menekankan makanan yang berasaskan kunyit sebagai sebahagian daripada menu khas pada minggu tersebut.
Kunyit sering kali dijadikan ramuan utama dalam kebanyakan masakan Brunei seperti daging kunyit masak kampung atau ayam masak kunyit.
Majlis kemudian diikuti dengan Majlis Anugerah Gastronomi Brunei untuk pemenang-pemenang 2018. Para pemenang terdiri daripada Hotel Antarabangsa Rizqun yang memenangi anugerah ‘The Best Taste’, The Empire Hotel & Country Club memenangi anugerah ‘The Best Presentation’, Hotel Radisson memenangi anugerah ‘The Most Creative’, Hotel Brunei memenangi anugerah ‘The Most Innovative’, dan Hotel Antarabangsa Rizqun memenangi anugerah ‘The Best Wholesomeness’.
Ketua Cef Hotel Antarabangsa Rizqun, Awang Rezal Othman ketika ditemui menjelaskan kategori yang dipertandingkan semasa Minggu Gastronomi Brunei 2018 adalah berasaskan daun pisang dengan memperkenalkan makanan-makanan orang Melayu berbalutkan daun pisang seperti ikan, pencuci mulut dan juga nasi dengan perisa yang pelbagai.
Berkongsi mengenai kemajuan yang terdapat pada Minggu Gastronomi Brunei, beliau berkata terdapatnya kemajuan terutama sekali penglibatan golongan muda, di mana mereka dapat mengembangkan bakat dengan asas yang dipelajari dari sekolah contohnya Sekolah Hospitaliti dan Pelancongan, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Sultan Saiful Rijal dan Pusat Pembangunan Belia (PPB).
Menyentuh mengenai bahan asas kunyit pada acara kali ini, beliau berkongsi bahawa mereka akan menggabungkan makanan Melayu dan Barat untuk menjadi sesuatu yang baharu dengan kebanyakannya seperti nasi lemak, nasi kuning, rempah ayam dan pelbagai lagi.
“Elemen dari Barat tetapi rasa tempatan kami gabungkan menjadi satu untuk menghasilkan suatu yang luar biasa,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Cef Hotel Brunei, Samuel Sak, menyatakan kepada pihak media bahawa mereka telah memenangi anugerah ‘The Best Presentation’ bagi hidangan ayam buluh (Bamboo Chicken) dengan buah kembayau.
“Sebenarnya ayam buluh itu dibungkus dengan daun ubi, kemudiannya menggunakan terung masam yang menjadikan warna isinya memiliki kontras,” kongsinya.
Beliau berpendapat, Minggu Gastronomi Brunei adalah bagus untuk hotel di mana setiap tahun mereka menyediakan fokus yang berlainan dan pada tahun ini pula kunyit digunakan sebagai bahan asas dan ia akan menjadi cabaran untuk mencipta hidangan yang berasaskan bahan itu.
Manakala Pengetua Sekolah Hospitaliti dan Pelancongan, IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal, Awang Mohamad Kamarul Izzudin bin Haji Kamaluddin pula menjelaskan kebanyakan peserta yang terlibat merupakan graduan sekolah itu.
“Ia adalah pertandingan yang sihat kerana industri kita ini masih lagi berskala kecil dan ia adalah industri yang berkembang. Saya percaya jika kita bekerjasama seperti acara pada hari ini, ia akan membantu industri kita untuk terus maju ke depan,” ujarnya.
Terdapat 10 buah hotel dan restoran menyertai Minggu Gastronomi Brunei pada tahun ini.
Sepanjang tempoh dua minggu, restoran yang mengambil bahagian akan mempromosikan hidangan istimewa mereka seperti ‘Deconstructed Laksa’ oleh Hotel Radisson, ‘Duck Trio’ yang dihidangkan dengan sos kunyit oleh Anjung Saujana dan Udang Sambal Kunyit oleh Longhouse Training Restaurant.
Antara agensi-agensi yang mengambil bahagian bagi acara kali ini ialah Anjung Saujana dan Restoran Makanan Laut Horizon dari Royal Brunei Catering (RBC), Eco Ponies Garden, Hotel Radisson, Hotel Antarabangsa Rizqun, Penerbangan Diraja Brunei, Sumbiling Eco Village, Hotel Brunei, The Empire Hotel & Country Club, Longhouse Training Restaurant dan Sekolah Hospitaliti dan Pelancongan, IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal.