ALBUQUERQUE, 30 JAN – Pengawal selia alam sekitar dan pegawai kesihatan di New Mexico memberi amaran kepada pemburu bahawa bahan kimia berbahaya yang dikenal pasti menyebabkan kanser pada manusia telah ditemui menerusi maklumat yang diperoleh pada burung, mamalia kecil dan tumbuhan di sebuah tasik berhampiran Pangkalan Tentera Udara Holloman.
Pegawai negeri berkata penemuan itu merupakan beberapa tahap tertinggi yang didokumenkan dalam hidupan liar dan tumbuhan di seluruh dunia berdasarkan perbandingan dengan kajian lain yang diterbitkan. Penyelidik yang dikontrak oleh kerajaan menguji tisu otot, hati dan tulang pada itik, burung dan tikus serta kulit telur, alga termasuk kulit daripada ular tedung.
Penemuan itu muncul apabila lebih banyak negeri dalam beberapa tahun kebelakangan ini terpaksa mengeluarkan nasihat kesihatan kepada pemburu dan lain-lain akibat daripada bahan kimia yang dikenali sebagai PFAS muncul dalam haiwan liar yang diburu untuk sukan dan sumber makanan.
Bahan kimia PFAS, atau bahan per dan polyfluoroalkyl, merupakan tumpuan yang semakin meningkat bagi agensi kesihatan awam dan alam sekitar, sebahagiannya kerana ia tidak hilang atau bergerak secara perlahan dalam persekitaran dan boleh kekal dalam aliran darah seseorang sepanjang hayat.
Di New Mexico, kebimbangan tertumpu pada tasik yang berfungsi sebagai takungan air sisa untuk Pangkalan Tentera Udara Holloman. Ia terletak di pinggir pangkalan dan berhampiran Taman Negara White Sands. Walaupun memburu kini dilarang di sana, pegawai negeri bimbang tasik itu berfungsi sebagai persinggahan untuk itik dan burung migrasi lain yang akhirnya boleh dituai di tempat lain.
“Tahap pencemaran PFAS di Tasik Holloman amat membimbangkan, terutamanya bagi pemburu yang mungkin memakan unggas air dari kawasan itu sejak 10 tahun lalu,” kata Pengarah Perubatan untuk Jabatan Kesihatan Negeri, Miranda Durham.
Durham dan pegawai negeri lain menggunakan laporan yang didedahkan Isnin lalu untuk memberi lebih tekanan kepada pegawai persekutuan berikutan pertikaian undang-undang yang berterusan mengenai pembersihan di Holloman dan Pangkalan Tentera Udara Cannon di timur New Mexico. – AFP