KABUL, 14 NOV – Tiga kanak-kanak maut apabila bom dari peperangan terdahulu meletup kelmarin di Wilayah Badghis, barat Afghanistan, kata jurucakap polis, Sediqullah Sediqi, hari ini.
Kanak-kanak malang itu menemui peranti yang kelihatan seperti alat permainan dan mula bermain dengannya, tetapi peranti itu meletup, membunuh tiga orang di tempat kejadian, kata pegawai itu. Ia adalah insiden kedua seumpamanya sepanjang minggu lepas di wilayah yang sama. Insiden serupa meragut nyawa dua kanak-kanak seminggu yang lalu.
Afghanistan, yang musnah akibat konflik selama berdekad-dekad, dilaporkan antara negara yang paling banyak periuk api di dunia, dengan peranti yang tidak meletup daripada peperangan lebih 40 tahun lalu sering menyebabkan kematian atau kecederaan, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak. – Bernama


