Wednesday, May 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bahana langsing segera

    DALAM dunia serba moden ini, kebanyakannya orang mula mengambil berat mengenai penjagaan kesihatan dan lebih menumpu kepada masalah obesiti berbanding dengan masalah kekurangan berat badan.

    Obesiti sudah pasti dikaitkan dengan tidak sihat dan penyakit manakala kurang berat badan atau kurus lebih sinonim dengan kecantikan dan didambakan oleh kebanyakan wanita. Ini dibuktikan dengan produk kurus atau pelangsingan yang tumbuh bak cendawan selepas hujan sejak kebelakangan ini. Persoalannya, adakah kekurangan berat badan ini tiada berisiko kepada masalah kesihatan?

    Kurus atau kurang berat badan dikatakan menawan tetapi hakikatnya boleh mengundang kepada beberapa risiko kesihatan antaranya malnutrisi, kekurangan vitamin atau anemia (kekurangan pengambilan vitamin D dan kalsium boleh menyebabkan osteoporosis. Sistem pertahanan tubuh, keseimbangan hormon, pertumbuhan terutamanya kanak-kanak dan remaja serta kesuburan juga boleh terjejas selain ianya melambatkan proses penyembuhan luka selepas menjalani pembedahan.

    Kurus secara mendadak boleh menyebabkan masalah malnutrisi. Malnutrisi bermaksud kekurangan zat makanan di dalam badan, ia biasa terjadi kepada individu yang mempunyai kurang berat badan sama ada disebabkan oleh pengambilan makanan yang tidak sihat dan tidak seimbang, ataupun mempunyai penyakit yang mengganggu penyerapan nutrisi daripada makanan yang dimakan. Malnutrisi akan menyebabkan individu mengalami anemia dan kekurangan vitamin.

    Pada jangka panjang, malnutrisi akan mengakibatkan tubuh badan menjadi cepat lesu, kerap jatuh sakit, mudah mendapat jangkitan, hormon tidak seimbang yang membuatkan rambut gugur dan kulit kering.

    Gantikan snek dengan pilihan yang lebih sihat seperti buah-buahan dan salad.

    Remaja wanita adalah golongan yang paling berisiko tinggi mengalami masalah malnutrisi kerana mereka sedang mengalami pertumbuhan yang pesat semasa remaja. Mereka memerlukan lebih protein untuk pecutan pertumbuhan.

    Anda bayangkan bagaimana remaja yang memerlukan lebih tenaga dan protein tetapi sengaja mengurangkan nutrisi akibat mahu kekal kurus. Kekurangan zat besi boleh menyebabkan anemia, kekurangan darah merah yang penting sebagai pengangkut oksigen daripada paru-paru ke tisu badan.

    Diet rendah karbohidrat

    Kini sangat di pasaran memperkatakan mengenai produk-produk pelangsingan badan dan juga cara berdiet yang kebanyakannya berkongsi ciri-ciri diet yang sama iaitu sangat rendah kandungan karbohidrat tetapi tinggi kandungan protein manakala pengambilan lemaknya adalah bebas.

    Benarkah diet tinggi kandungan protein dan rendah karbohidrat adalah jalan singkat yang terbaik untuk mendapatkan bentuk badan idaman?

    Tiada jalan pintas untuk mencapai berat badan ideal serta mahu kelihatan langsing. Penurunan berat badan mestilah dilakukan dengan cara yang selamat dan sihat iaitu bukan dengan cara melakukan Crash Diet ataupun senaman melampau.

    Tubuh badan sebenarnya memerlukan perubahan yang dibuat secara berperingkat dan konsisten. Sebagai contoh mula melakukan senaman berkala secara perlahan dan meningkatkan kekerapan dan tempoh masa serta intensiti senaman sedikit demi sedikit. Lakukan secara berhemah dan yang penting mestilah berterusan.

    Pemakanan yang cukup dan seimbang adalah asas yang penting bagi kesihatan individu terutamanya golongan wanita. Ini kerana wanita yang sihat mampu memelihara kesihatan anak-anak.

    Karbohidrat adalah sumber tenaga yang utama di dalam tubuh badan.
    Elakkan pengambilan snek yang kaya kalori di antara waktu makanan utama.

    Anak-anak wanita yang mengalami malnutrisi berisiko mengalami masalah kognitif, kurang ketinggian, mudah mendapat jangkitan serta berisiko tinggi mendapat penyakit serta boleh mengakibatkan wanita mengalami kesukaran ketika proses bersalin.

    Seranan Diet Malaysia menggariskan panduan pengambilan makanan yang seimbang iaitu mengambil 55-20 peratas (protein) dan 30 peratus (lemak) daripada jumlah kalori tenaga dalam sehari. Pengambilan diet yang tidak seimbang iaitu jumlah karbohidrat yang sedikit mengakibatkan kekurangan kalsium, serat, antioksidan dan fitronutrien manakala jumlah lemak, lemak tepu dan kolestrol pula akan berlebihan.

    Kebanyakan pengamal diet ini berpendapat bahawa dengan mengelakkan pengambilan karbohidrat, tubuh badan akan mula menggunakan lemak simpanan di dalam badan sebagai sumber tenaga utama seterusnya menyebabkan penurunan berat badan yang mendadak tanpa perlu melakukan senaman yang berkala.

    Karbohidrat adalah sumber tenaga yang utama di mana tubuh badan akan menggunakan karbohidrat terlebih dahulu sebelum menggunakan lemak dan otot sebagai sumber tenaga.

    Tanpa kehadiran karbohidrat sebagai sumber tenaga utama, lemak akan digunakan seterusnya bahan keton akan terhasil akibat daripada metabolism lemak asid. Keton yang hadir di dalam urin ini menunjukkan yang tubuh badan sedang menggunakan lemak sebagai tenaga dan ini menunjukkan yang tubuh badan sedang mengalami ‘kebuluran’.

    Di antara symptom paras keton yang tinggi ialah dahaga, kerap kencing, dehidrasi, loya, muntah, nafas berbau, penglihatan terganggu serta boleh juga mengakibatkan kekeliruan pada otak. Ini adalah kerana kesan toksin akibat paras keton yang tinggi dan asid telah berkumpul di otak.

    Selain itu, perbandingan telah dilakukan di antara peratusan kalori daripada lemak di mana didapati diet tinggi protein, rendah karbohidrat ini mengandungi 60 peratus kandungan tenaga daripada lemak manakala diet seimbang hanya 30 peratus.

    Jumlah kolestrol juga lebih tinggi iaitu 1000mg kolestrol diambil daripada diet ini berbanding hanya 300mg oleh diet seimbang di dalam satu hari. Maka tidak hairan lah kenapa diet tinggi protein dan rendah karbohidrat ini mempunyai kaitan rapat dengan penyakit jantung. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda