MANILA, 9 MEI – Rakyat Filipina akan keluar mengundi pada Isnin ini, dalam pilihan raya yang bakal menentukan separuh kerusi Senat, ribuan jawatan tempatan, dan berkemungkinan besar masa depan politik Naib Presiden Sara Duterte yang telah didakwa melalui proses pemecatan.
Lebih 160,000 anggota polis kebangsaan telah dikerahkan untuk mengawal pusat mengundi, mengiringi pegawai pilihan raya dan menjaga sekatan jalan raya di seluruh negara yang terkenal dengan persaingan sengit bagi jawatan di peringkat wilayah, yang kadang kala mencetuskan keganasan.
Namun, pertelagahan antara Naib Presiden dan Presiden Ferdinand Marcos menjadi tumpuan utama dalam politik negara menjelang pilihan raya separuh penggal itu.
Perselisihan antara dua bekas sekutu itu memuncak selepas pemecatan Naib Presiden pada bulan Februari dan penahanan ayahnya, Rodrigo Duterte – bekas Presiden Filipina – yang kemudiannya dihantar ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk menghadapi tuduhan berkaitan perang dadah berdarah semasa pentadbirannya.
Sebanyak 12 orang senator yang akan dipilih Isnin ini, bersama 12 lagi yang sedia ada, akan bertindak sebagai juri dalam perbicaraan pemecatan – yang dijangka berlangsung pada bulan Julai – yang boleh menyebabkan Sara Duterte diharamkan daripada memegang jawatan awam secara kekal.
Daripada 12 calon teratas dalam tinjauan semasa, tujuh telah menerima sokongan Presiden Marcos manakala empat lagi – termasuk adik Presiden, Imee Marcos yang terkenal dengan sikap bebas – berpihak kepada kem Duterte secara terbuka.
Antara calon yang mendahului termasuk seorang pengacara televisyen, pelawak, dan bekas pegawai kanan Duterte yang secara terbuka menyatakan bahawa beliau mungkin menjadi individu seterusnya dalam senarai waran tangkap ICC. – AFP
