Oleh Nurdiyanah R. –
Bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa dalam rumpun bahasa Austronesia yang menjadi bahasa kebangsaan bagi beberapa buah negara seperti Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura, menjadikannya sebagai salah satu daripada lima bahasa yang memiliki penutur terbesar di dunia.
Jika ditinjau dari sudut sejarah, bahasa Melayu tidak kurang hebatnya berbanding dengan bahasa Inggeris, di mana ia mempunyai pelbagai varian dan penamaan mengikut kemajmukan penuturnya.
Di samping itu, demi memperkasakan bahasa Melayu, Negara Brunei Darussalam dan Singapura dengan usaha bersama The Curious Playgrounds dan Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) Singapura telah mengungkayahkan acara debat bahasa Melayu menerusi Bahas Muhibbah 2023 bertempat di Dewan Auditorium, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, baru-baru ini.
Acara tersebut menyaksikan penglibatan 12 orang pelajar dari Pusat Tingkatan Enam Meragang, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Madrasah Alsagoff Al-Arabiah dan Politeknik Ngee Ann serta bekas pelajar Institusi Raffles dalam Bahas Muhibbah bagi sama-sama bertukar idea. Menerusi sesi debat berkenaan telah menampilkan dua pasukan pendebat iaitu dari Brunei Darussalam dan Singapura.
Dengan bertemakan Pendidikan Inklusif ialah Impian yang Boleh Dicapai, perbahasan itu bertujuan bagi menangani topik pendidikan inklusif yang mengiktiraf hak semua pelajar untuk pengalaman pembelajaran yang menghormati kepelbagaian, membolehkan penyertaan, menghapuskan halangan dan mempertimbangkan pelbagai keperluan dan keutamaan pembelajaran.
BAHASA PENYATU HUBUNGAN DUA NEGARA
Menurut pengasas dan Pengarah Kreatif The Curious Playgrounds, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Hamlatul Arsy Mulia menjelaskan lanjut kepada Media Permata bahawa pengungkayahan Bahas Muhibbah 2023 bersempena dengan Day of Action (DOA) adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyediakan golongan muda dengan platform yang dapat membimbing, menangani, memimpin, dan menyokong isu alam sekitar, pendidikan dan sosial, menjadi pemangkin kepada perubahan dan inspirasi bagi masa depan yang lebih baik.
Sementara itu, Presiden 4PM Singapura, Nassar Mohamad Zain turut berkesempatan mengongsikan bahawa intipati sebenar Bahas Muhibbah 2023 adalah bagi meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara di sam-ping memupuk persefahaman antara Brunei dan Singapura dalam pelbagai aspek.
“Bahas Muhibbah bertujuan bukan sahaja meningkatkan keyakinan diri, pemikiran kritis dan kemahiran berpidato peserta melalui pertandingan debat mesra. Tetapi ia juga untuk meningkatkan taraf perbahasan dengan mengubahnya menjadi pertandingan serantau.
“Selain itu, kami berharap dapat menjalin ikatan yang lebih kukuh antara Singapura dan Brunei dengan bertukar pengalaman, berkongsi pengetahuan dan meningkatkan hubungan dua hala. Melalui program ini, para peserta ditawarkan pengalaman unik untuk pertukaran budaya dan intelektual, pemikiran kritis dan budaya.
Ia adalah platform untuk belia menghayati bahasa Melayu dan mempelajari bagaimana masyarakat dari pelbagai bahagian di rantau ini menggunakan keindahan bahasa tersebut,” ujarnya.
PLATFORM MELAHIRKAN MASYARAKAT BERWAWASAN
Menyentuh mengenai matlamat penubuhan The Curious Playgrounds, YAM Pengiran Anak Hamlatul Arsy Mulia menjelaskan ia adalah platform bagi masyarakat berwawasan yang melangkaui sempadan pembelajaran tradisional dan mentakrifkan semula cara kita melibatkan diri dengan jiwa ingin tahu, kreativiti dan perubahan sosial yang positif.
Tambahnya, The Curious Playgrounds bukan sekadar platform; ia adalah etos, pemikiran dan merangkumi rasa ingin tahu seseorang individu. Bayangkan alam maya di mana setiap individu daripada lapisan masyarakat berkumpul untuk meneroka, belajar dan bekerjasama.
Ia merupakan tempat bagi merapatkan hubungan antara pelajar dan mentor dengan memupuk persekitaran di mana setiap orang adalah pemandu dan pencari.
Setiap interaksi adalah percikan inspirasi dan setiap usaha adalah satu langkah ke arah dunia yang lebih empati, kreatif dan transformatif.
“Platform ini selaras dengan objektif menyeluruh yang ditetapkan oleh Wawasan Brunei 2035, yang bertujuan untuk menyumbang secara signifikan kepada aspirasi negara untuk pembangunan dan kemajuan holistik,” ujar Yang Amat Mulia.
“Di tengah-tengah Wawasan Brunei 2035 terletak matlamat untuk memupuk masyarakat yang dinamik dan berpengetahuan yang berkembang maju dalam ekonomi yang pelbagai dan mampan.
“Platform kami secara langsung bergema dengan objektif ini dengan memperkasakan belia Brunei dengan pengetahuan, kemahiran dan peluang yang penting untuk menjadi penyumbang aktif kepada pertumbuhan negara,” tambahnya.
Di samping itu, salah satu tonggak utama Wawasan Brunei 2035 ialah pembangunan tenaga kerja yang berpendidikan tinggi dan berkemahiran, di mana platform berkenaan secara aktif menyokong perkara tersebut dengan menyediakan program, bengkel dan peluang bimbingan yang disesuaikan.
Di samping itu, ia juga dapat melengkapkan individu-individu dalam kalangan belia muda dengan bukan sahaja kemahiran kreatif tetapi juga kemahiran insaniah penting yang diperlukan untuk berjaya dalam dunia yang berkembang pesat hari ini.
Selain itu, tambah Yang Amat Mulia, Wawasan Brunei 2035 turut menekankan kepelbagaian ekonomi, bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap sumber minyak dan gas di mana menerusi platform berkenaan maka ia menyumbang kepada objektif ini iaitu dengan memupuk pertumbuhan industri kreatif yang bertenaga.
“Tambahan pula, visi tersebut menekankan kepentingan keharmonian sosial, nilai-nilai yang kukuh, dan identiti nasional. Platform kami memainkan peranan penting di sini dengan menggalakkan keterangkuman, menggalakkan ekspresi budaya, dan memupuk rasa bangga dalam kalangan belia dalam usaha kreatif mereka, sekali gus menyumbang kepada permaidani budaya yang kaya yang mentakrifkan identiti Brunei,” ucapnya penuh harapan.
“Dengan memupuk bakat dan menggalakkan inovasi merentasi pelbagai disiplin kreatif, kami meletakkan asas untuk ekonomi yang pelbagai didorong oleh bakat dan usaha keusahawanan belia Brunei,” tambahnya.
DELEGASI SELAMI KEINDAHAN BUMI DARUSSALAM
Dalam menyemarakkan lagi acara Bahas Muhibbah 2023 berkenaan, beberapa aktiviti dan program turut diungkayahkan oleh The Curious Playgrounds, di mana delegasi Singapura dapat menyaksikan dan menyelami keindahan warisan budaya dan kemasyarakatan di Negara Brunei Darussalam menerusi beberapa acara lawatan antaranya ke Lamin Warisan, menaiki perahu menikmati suasana Kampong Ayer, aktiviti melukis dan menanam pokok di Taman Budiman dan sebagainya.
Turut mengongsikan pandangan tulus, Muhammad Shahril bin Samri selaku salah seorang ahli jawatankuasa 4PM Singapura dan Majlis Bahasa Melayu Singapura serta Pengasas Pantunism yang menyertai program lawatan pertukaran antara Negara Brunei Darussalam dan Singapura sempena acara berkenaan berkata Negara Brunei Darussalam adalah sebuah negara yang dipenuhi dengan permata rahsia sekali gus mensyukuri peluang luar biasa dapat mengenali lebih dekat lagI.
Rentetan itu, dengan adanya komitmen negara dan para penduduk dalam mengekalkan keindahan semula jadinya dengan usaha pemuliharaan, perlindungan ekosistem melalui dasar alam sekitar yang terperinci adalah sesuatu hal yang wajar dan patut dicontohi seluruh dunia.
“Brunei mempunyai warisan budaya yang amat kaya. Seni, muzik dan tarian tradisional negara ini mencerminkan sejarah dan nilainya yang unik. Seni bina, terutamanya Masjid Omar ‘Ali Saifuddien yang menakjubkan, mempamerkan reka bentuk Islam yang indah dan berdiri sebagai simbol pengabdian Brunei kepada kepercayaan dan kemegahan seni binanya,” kongsinya tulus.