Friday, December 13, 2024
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bahasa etnik medium hebahan Bulan Kebangsaan di Sabah

    KOTA KINABALU, 15 OGOS – Bahasa etnik seperti Bajau, Murut, Kadazan dan Dusun antara medium perantaraan digunakan bagi menyampaikan hebahan dan publisiti berkaitan sambutan Bulan Kebangsaan di Sabah.

    Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah, Supian Musa berkata inisiatif itu bukan hanya bertujuan menyemarakkan sambutan, tetapi lebih utama mahu memastikan mesej disampaikan dalam bahasa mudah difahami supaya dapat dihayati semua lapisan masyarakat.

    Selain sambutan Hari Kebangsaan, hebahan turut melibatkan sambutan Hari Sabah, juga pada 31 Ogos ini, dan Hari Malaysia yang menyaksikan Negeri di Bawah Bayu dipilih sebagai tuan rumah sambutan tahun ini.

    “Sabah mempunyai lebih 32 etnik dengan bahasa masing-masing. Disebabkan itu, kita memilih membuat hebahan dalam pelbagai bahasa etnik bagi memastikan mesej kenegaraan sampai kepada semua, selain dilihat lebih cepat meresap di jiwa penutur bahasa itu,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    Hebahan itu, menurut Supian juga disesuaikan dengan siaran radio Sabah, VFM, stesen radio dalam pelbagai bahasa di Sabah yang dikendalikan Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta stesen radio Kupi Kupi FM dan UMS FM dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS).

    Selain itu, hebahan Bulan Kebangsaan juga dilakukan di media sosial seperti Facebook dan program Info on Wheels (IOW) oleh JaPen, yang turut menggunakan bahasa etnik mengikut kawasan demografik. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda