Oleh Amirul Mohd Sajadi
BEIJING, 13 FEB – Lagu Rasa Sayang yang biasanya diikuti dengan pantun adalah antara lagu rakyat yang sememangnya cukup sinonim dengan masyarakat Malaysia tanpa mengira bangsa.
Bagi penulis, lagu ini mempamerkan betapa indahnya Bahasa Melayu yang tinggi nilai dan kesantunannya selain menjadi wadah perpaduan kaum di negara ini.
Penulis begitu tertarik apabila Lagu Rasa Sayang dinyanyikan oleh seorang gadis dari Tembok Besar China yang bernama Liang Liang atau lebih mesra disapa sebagai Husna.
Pertemuan di pejabat Liang, 25, di China Radio International (CRI) Beijing, benar-benar menyerlahkan kebolehan gadis ini bertutur Bahasa Melayu dengan begitu baik sekali. Bahkan Liang juga mempunyai kebolehan untuk berpantun serta fasih bertutur dalam Bahasa Melayu
Tak kenal maka tak cinta Menyingkap kembali bagaimana Liang mula “jatuh cinta” dan diperkenalkan dengan Bahasa Melayu, gadis itu me-nyifatkan ia sesuai digambarkan dengan pepatah Melayu “Tak kenal maka tak Cinta”.
“Apabila diperkenalkan tentang Malaysia, dari situ saya jatuh cinta dengan Bahasa Melayu dan seterusnya memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Bahasa Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU), China selama tiga tahun pada 2013 dan satu tahun lagi di Universiti Malaya (UM) di Malaysia pada 2016,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Beliau yang kini bertugas sebagai penterjemah, wartawan penyiaran dan juruhebah bagi siaran Bahasa Melayu radio CRI, di Beijing berkata, pengalaman mempelajari Bahasa Melayu adalah sesuatu yang sangat menarik buat dirinya.
Kata Liang, walaupun hampir kesemua rakan sekerjanya berbangsa Cina, tetapi mereka tetap menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan harian di pejabat.
Bahasa perniagaan
Penulis juga berkesempatan berkenalan dengan seorang peniaga kelengkapan rumah, Liew Huan, 34, di Pearl Market, daerah Dongcheng, dekat sini.
Beliau juga mampu bertutur Bahasa Melayu dengan baik.
Liew atau nama Islamnya Fatimah berkata beliau dapat menarik lebih ramai pelanggan terutamanya dari Malaysia untuk singgah di kedainya yang menjual cadar, langsir, alas meja dan kain, jika bertutur dalam Bahasa Melayu.
“Sejak menceburi bidang perniagaan lebih 10 tahun lepas, saya dapati ramai rakyat Malaysia melancong ke China dan disebabkan itu saya mengikuti kelas jangka pendek mempelajari Bahasa Melayu selama satu bulan di BFSU,” katanya.
Menurut Liew, pelanggan dari Malaysia pernah memberitahu beliau bahawa mereka lebih selesa dan seolah-olah berada di tanah air sendiri ketika membeli-belah di kedainya di Beijing.
Bahasa perhubungan, dituturkan lebih 300 juta orang
Berdasarkan kajian Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, terdapat 16 universiti awam di negara Tembok Besar itu yang menawarkan jurusan bahasa Melayu.
Dianggarkan seramai 600 pelajar China mengikuti pengajian Bahasa Melayu, setiap tahun.
Ini membuktikan kedudukan Bahasa Melayu yang kini mempunyai lebih 300 juta penutur dimartabatkan pada pe-ringkat global sebagai bahasa perhubungan (lingua franca) serta menjadi antara bahasa terpenting di dunia.
Namun, hakikatnya penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat Malaysia, penulis boleh ibaratkan sebagai “melukut di tepi gantang”.
Ini kerana masih ada pihak yang tidak bersungguh-sungguh menggunakan Bahasa Melayu dalam urusan harian, sedangkan negara asing begitu rancak mempelajari dan mengaplikasikan Bahasa Melayu dalam pelbagai urusan di negara mereka.
Pensyarah Jabatan Bahasa Melayu di BFSU, Roziah Adama, 35, berpendapat tidak salah untuk mempelajari bahasa lain kerana ia dapat memberi nilai tambah kepada seseorang individu itu, namun bahasa kebangsaan harus terus diperkasakan.
“Tahu lebih daripada satu bahasa, ibarat bonus tetapi janganlah sampai menganak tiri bahasa ibunda. – Bernama