TILOUGUIT – Di pergunungan Atlas Tinggi Maghribi, penggembala Hammou Amraoui dan anak lelakinya hampir tidak memerlukan kata-kata untuk berkomunikasi.
Dari puncak ke puncak, mereka bersiul antara satu sama lain dalam bahasa berusia berabad-abad, yang kini terancam akibat penghijrahan penduduk luar bandar.
“Bahasa siulan ini adalah telefon kami,” seloroh Hammou, 59, yang keluarganya terkenal dengan tradisi tersebut di Imzerri, sebuah dusun terpencil di komun Tilouguit, kira-kira dua jam perjalanan dari bandar terdekat.
Di Tilouguit, katanya, orang ramai mempelajarinya ‘seperti kita belajar berjalan atau bercakap’.
Bahasa Assinsg menggantikan kata-kata dengan siulan nyaring yang mampu dibawa sejauh hampir tiga kilometer di kawasan pergunungan, menurut para penyelidik.




“Prinsip bahasa ini mudah. Perkataan disebut dalam bentuk wisel, dan kuncinya adalah latihan,” kata Brahim, 33, anak lelaki Hammou.
“Ia memudahkan komunikasi, terutamanya ketika kami menggembala ternakan,” tambahnya.
Penyelidik warisan Maghribi, Fatima Zahra Salih, menyifatkan bahasa siulan itu sebagai satu ‘khazanah’ budaya.
Sejak lima tahun lalu, beliau mengkaji bahasa ini untuk menyediakan cadangan pengiktirafan dan perlindungan oleh agensi kebudayaan PBB, UNESCO.
Bahasa siulan pernah didokumentasikan di hampir setiap benua, termasuk di Kepulauan Canary, Sepanyol, berhampiran pesisir Atlantik Maghribi.
“Sekitar lebih 90 bahasa mempunyai bentuk siulan, direkodkan dalam penerbitan saintifik,” kata Julien Meyer, seorang ahli linguistik yang mengkhusus dalam fenomena ini.
Di Maghribi, ia setakat ini hanya direkodkan di wilayah Beni Mellal-Khenifra dalam jajaran Atlas Tinggi tengah, namun Salih tidak menolak kemungkinannya wujud di tempat lain.
ANCAMAN PENGHIJRAHAN
Untuk sampai ke Imzerri, seseorang perlu mendaki laluan tanah merah yang berliku di celah pohon oak.
Kampung itu mempunyai sekitar 50 buah rumah, tanpa bekalan air paip atau elektrik.
Ramai keluarga telah berpindah, mengancam kelangsungan bahasa siulan ini.
“Wilayah kami indah, tetapi kami hidup dalam pengasingan dan keadaan yang sukar,” kata Aicha Iken, 51, yang mempelajari bahasa siulan sejak kecil ketika menjaga ternakan.
“Ramai jiran kami sudah pergi.”
Kadar kemiskinan di wilayah Azilal, tempat terletaknya Imzerri, telah menurun dalam beberapa tahun kebelakangan ini, namun pada 2024 masih dua kali ganda purata nasional iaitu 17 peratus.
Namun, ada keluarga yang bertekad untuk terus bertahan di tanah mereka dan mempertahankan tradisi siulan.
Brahim Amraoui memastikan anak lelakinya yang berusia 12 tahun, Mohamed, menjadi antara segelintir kanak-kanak di dusun itu yang tahu bersiul.
“Pada mulanya memang sangat susah,” kata Mohamed, yang bercita-cita menjadi juruterbang. “Saya tidak faham semuanya, tetapi selepas dua tahun, ia semakin baik.”
Bapanya menegaskan pentingnya mengajar bahasa itu kepadanya, walaupun dia memilih kerjaya lain.
“Matlamat saya adalah untuk bahasa siulan ini terus terpelihara,” katanya.
Sejak 2022, Brahim mengetuai sebuah persatuan kecil khusus untuk memelihara amalan tersebut.
BAHASA SIULAN KIAN PUPUS
Bukan hanya penghijrahan ke bandar yang mengancam bahasa itu daripada lenyap.
“Bahasa siulan semakin hilang sedikit demi sedikit akibat kemerosotan alam sekitar,” kata Meyer.
Kemarau telah melanda Maghribi selama tujuh tahun berturut-turut.
Pada November 2024, buat pertama kali dalam sejarah keluarga mereka, penggembala Amraoui terpaksa meninggalkan kampung untuk membawa ternakan mereka merentas hampir 350 kilometer ke timur mencari padang ragut. Mereka hanya pulang tujuh bulan kemudian.
“Perpindahan itu menyakitkan, tetapi kami tiada pilihan,” kata Hammou. “Kami sudah
tiada apa untuk diberi makan kepada ternakan.”
Salih berkata keadaan itu berpunca daripada ‘perubahan iklim’ yang ‘mengganggu cara hidup pastoral mereka’, di mana dahulu terdapat padang ragut bermusim tetap berhampiran rumah untuk mereka berpindah.
“Buat pertama kali, mereka terpaksa mengamalkan kehidupan nomad,” katanya mengenai keluarga Amraoui.
Keluarga penggembala itu kini meletakkan harapan kepada hujan musim luruh ini, agar mereka tidak perlu berpindah lagi.
Namun, sementara menunggu ketentuan itu, Salih menegaskan tentang ‘keperluan mendesak untuk melindungi’ bahasa siulan ini sebelum ia ditinggalkan sama sekali
bersama kehidupan desa yang semakin pupus. – AFP

