Saturday, December 21, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bahaya akibat Taufan Helena, tiga terkorban

    TALLAHASSEE, 27 SEPT – Dua orang terkorban di Georgia akibat puting beliung, kata gabenor hari ini, ketika Taufan Helene melanda negeri itu setelah menyebabkan satu kematian di Florida apabila ia melanda kawasan tenggara Amerika Syarikat (AS).

    Amaran puting beliung telah dikeluarkan di seluruh kawasan utara Florida, Georgia dan Carolina sebelum taufan kuat itu mendarat lewat kelmarin.

    Pusat Taufan Kebangsaan AS memberi amaran mengenai ‘angin bencana’ serta gelombang ribut yang mengancam nyawa dan hujan lebat daripada taufan itu, walaupun ia semakin lemah ketika bergerak ke darat.

    Gabenor Georgia, Brian Kemp, berkata dua orang terkorban di kawasan tengah negeri itu, sambil menggesa “semua penduduk Georgia untuk bersiap sedia menghadapi kesan lanjut daripada Helene, kekal berwaspada, dan berdoa untuk semua yang terjejas” dalam hantaran di platform media sosial X.

    Media tempatan melaporkan seorang lelaki dan seorang wanita maut apabila sebuah treler diterbangkan oleh puting beliung, kata Pengarah Agensi Pengurusan Kecemasan Wheeler County, Steve Adams.

    “Treler tersebut diterbangkan menyeberang lebuh raya oleh puting beliung, melanggar dua kenderaan, sebelum terhempas di sebuah ladang,” lapor berita WTOC-TV.

    Lebih awal pada hari itu, Gabenor Florida, Ron DeSantis, berkata seorang mangsa maut ketika memandu di bandar pesisir Tampa.

    “Kami menerima laporan mengenai satu kematian di jalan raya. Sebuah kereta yang sedang memandu di I-40… di Tampa dilanggar apabila papan tanda jatuh ke atas lebuh raya,” kata DeSantis dalam satu taklimat mengenai Taufan Helene.

    “Ia menunjukkan betapa berbahayanya keadaan di luar sana,” tambahnya.

    “Anda perlu berlindung sekarang. Ini bukan masa yang sesuai untuk keluar.”

    Lebih daripada 55 juta rakyat Amerika berada di bawah beberapa bentuk amaran cuaca atau amaran akibat Taufan Helene.

    Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan berkata kawasan yang berada di laluan taufan itu boleh terjejas dengan teruk, dengan banjir yang tidak pernah berlaku dalam tempoh lebih daripada satu abad. – AFP

    Orang ramai berjalan dalam angin kencang dan hujan di sebelah Teluk Tampa ketika Taufan Helene bergerak di luar pantai pada 26 September, di St. Petersburg, Florida. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda