Thursday, December 26, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Bahaya jika putus asa tangani COVID-19’

    GENEVA, 27 OKT – Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) memberi amaran cadangan pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) bahawa usaha mencegah pandemik COVID-19 boleh diabaikan dan sebaliknya langkah mitigasi diberi tumpuan.

    Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, menggesa semua negara jangan sekali-kali berputus asa dalam usaha membendung penularan virus kerana pendekatan itu pasti berkesan dalam jangka panjang.

    Beliau mengakui, selepas berbulan bergelut dengan COVID-19 yang sudah menjangkiti lebih 43. 7 juta mangsa dan meragut lebih 1.1 juta nyawa di seluruh dunia, kebanyakan negara sudah ‘letih dengan pandemik’.

    “Kita tidak boleh berputus asa walaupun keadaan bertambah sukar dan keletihan mula terasa.

    “Kita tidak boleh kecewa sekarang, apabila pemimpin bertindak dengan cepat dan konsisten, virus ini boleh ditentang,” katanya.

    Kelmarin, Ketua Staf Pejabat Presiden Amerika Syarikat (AS), Mark Meadow, memberitahu CNN bahawa pihaknya kini sudah beralih kepada langkah mitigasi COVID-19 dan bukan lagi pencegahan virus tersebut.

    “Kita tidak akan mengawal pandemik itu, sebaliknya kita kini sedang mengawal bagaimana untuk mendapatkan vaksin, terapi berkaitan dan langkah pengurangan lain,” katanya membandingkan wabak pembunuh itu dengan demam selesema bermusim. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda