Friday, November 15, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bahaya luka yang tidak sembuh

    KUALA LUMPUR – Penulis Malaysian Nanban, Peruji Perumal berkongsi dengan Bernama hasil wawancaranya dengan Dr Harikrishna K.Ragavan Nair, Ketua Klinik Penjagaan Kaki Diabetik, Hospital Kuala Lumpur. Beliau adalah juga Presiden Persatuan Penjagaan Luka Profesional Malaysian(MSWCP).

    Menakutkan! Setiap saat ada sahaja kaki pesakit diabetes atau kencing manis di mana tempat di dunia ini terpaksa dipotong.

    Untuk pesakit, luka kaki yang dipotong boleh mengancam nyawa sekiranya tidak sembuh. “Ini bukan luka biasa. Untuk itu pesakit diabetes memerlukan penjagaan luka yang rapi,” kata Dr Harikrishna K. Ragavan Nair, Ketua Klinik Penjagaan Kaki Diabetik, Hospital Kuala Lumpur.

    Jumlah terkini penduduk Malaysia dianggarkan 31.7 juta dan sekitar 17.5 peratus menghidap diabetes.

    “Ini amat membimbangkan,” kata Dr Harikrishna.

    Dr Harikrishna K.Ragavan Nair, Ketua Klinik Penjagaan Kaki Diabetik, Hospital Kuala Lumpur.
    Dr Harikrishna K.Ragavan Nair, Ketua Klinik Penjagaan Kaki Diabetik, Hospital Kuala Lumpur.
    Madu secara semula jadi boleh menyembuhkan luka dan mempunyai banyak manfaat seperti sifat antimicrobial.
    Madu secara semula jadi boleh menyembuhkan luka dan mempunyai banyak manfaat seperti sifat antimicrobial.

    Memandangkan diabetes semakin menjadi pandemik, luka pesakit kencing manis jangan dipandang ringan. Sekiranya pesakit lewat mendapatkan rawatan, amat sukar untuk menyelamatkan anggota badannya.

    Jagaan luka diabetik

    Penjagaan luka memerlukan perhatian rapi dan sekiranya ia diabaikan, ini akan menghalang luka daripada sembuh. Antara perkara yang perlu dititikberatkan ialah kebiasaan diet pesakit diabetes.

    Luka akan memberi ruang kepada jangkitan bakteria. Luka yang teruk akan menjadi luka kronik.

    Oleh yang demikian, salah satu perkara penting penjagaan luka ialah penilaian luka itu sendiri. Menurut Dr Harikrishna, kebanyakan luka pesakit diabetes boleh dirawat.

    Ianya berbanding luka yang ada kaitan dengan penyakit barah kerana rawatannya bukan untuk penyembuhan tetapi untuk mengurangkan bau, pendarahan kesakitan, kawalan jangkit dan mencegah komplikasi.

    Bagaimanapun, perlu ditekankan pengurusan penjagaan luka bukan dikendalikan oleh seorang individu. Ia adalah usaha bersepadu pegawai perubatan,jururawat, pakar penjagaan kaki dan paramedik.

    “Penjagaan luka pesakit diabetik memerlukan komitmen semua pihak yang terlibat, ” kata Dr Harikrishna sambil menunjukkan beberapa gambar luka pesakitnya yang disimpan di dalam telefon bimbitnya.

    Setelah melihat ribuan pesakit yang menggunakan kerusi roda beratur untuk mendapatkan rawatan pencucian luka serta pesakit diabetes yang dipotong kaki, bagi beliau rawatan efektif luka adalah paling utama.

    Dr Harikrishna yang sedang melanjutkan pengajian untuk ijazah kedoktoran (PhD) dalam bidang penjagaan luka cuba kedua-dua terapi konvensionl dan baru dalam rawatan luka pesakit diabetes.

    Rawatan pelengkap

    Beliau juga seorang perunding Maggot Debridement Therapy (MDT), yang melibatkan penggunaan berenga untuk menyembuhkan luka. Saiz luka akan menentukan jumlah berenga yang akan digunakan untuk rawatan tersebut.

    Pengasas terapi ini ialah William Baer dari Johns Hopkins University, Amerika Syarikat. Institut Penyelidikan Perubatan di Kuala Lumpur akan mensteril berenga yang akan digunakan untuk rawatan itu.

    “Berenga memang diketahui boleh membantu menyembuhkan luka. Ia tidak mendatangkan kesan sampingan. Rawatan ini selamat,” kata Dr Harikrishna. Rawatan tersebut berkesan dalam penyembuhan luka yang dijangkiti bakteria yang kebal antibiotik.

    Dr Harikrishna juga bercakap mengenai peranan madu dalam penyembuhan luka. Beliau berpandangan madu Manuka banyak menerima pengiktirafan dalam bidang penjagaan luka dan digunakan secara meluas untuk merawat luka.

    Madu secara semula jadi boleh menyembuhkan luka dan mempunyai banyak manfaat seperti sifat antimikrobial. “Kita perlu menyelamatkan kaki rakyat Malaysia daripada pisau pakar bedah,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda