Sunday, February 2, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bahaya PFAS dalam peralatan bomba

    BOSTON – Seorang anggota bomba dari balai bomba Boston, Daniel Ranahan, pernah mendengar mengenai rakan sejawatnya yang menghidap kanser namun terkejut apabila doktor mendapati tumor di dadanya.

    Dia baru berusia 30 tahun dan hanya berkhidmat dalam Jabatan Bomba Boston kurang daripada 10 tahun.

    Namun, apabila dia menyiasat diagnosis limfoma Hodgkin pada Oktober 2020 dan mencari rawatan yang berkesan, dia mengetahui bahawa dirinya dan rakan sejawat lain memakai peralatan yang mengandungi bahan kimia toksik, Perfluoroalkyl dan Polyfluoroalkyl (PFAS).

    Risiko yang tidak disangka

    “Kita selalu mendengar mengenai bahayanya. Awda tidak pernah menyangka ia akan terjadi kepada diri sendiri,” kata Ranahan, yang berhenti bekerja kerana kanser dan merupakan antara ribuan anggota bomba di seluruh Amerika Syarikat (AS) yang menyaman pengeluar PFAS dan syarikat yang membuat peralatan pemadam kebakaran dan busa, menuntut ganti rugi kerana membuatkan mereka terdedah.

    “Mereka memakainya setiap hari untuk melindungi kawasan perumahan dan ketika mereka bekerja,” katanya.

    Daniel Ranahan (kiri) dan bekas Timbalan Ketua Bomba Brockton, Joe Marchetti bergambar di balai bomba Engine 28, di Jamaica Plain, Boston. – Gambar AP
    Anggota bomba Rod MacKinnon (kiri) dan Leftenan Chris Stevens memakai peralatan perlindungan diri sebaik sahaja menerima panggilan kecemasn di stesen pemadam kebakaran di kejiranan Dorchester, Boston. – Gambar AP
    Anggota bomba William Hill, dari Brockton, Massachusetts, mempamerkan peralatan perlindungan di Stesen 1, Brockton, Massachusetts. – Gambar AP
    Leftenan Chris Stevens memakai pakaian perlindungan ketika kenderaan kecemasan bomba, Enjin 21 memasuki balai bomba, di kawasan Dorchester, Boston. – Gambar AP
    Ahli bomba MacKinnon memakai peralatan perlindungan ketika memasuki stesen pemadam kebakaran Engine 21, di kejiranan Dorchester, Boston. – Gambar AP

    The Associated Press (AP)tidak diberikan akses kepada doktor yang merawatnya kerana tindakan undang-undang yang sedang berjalan, membuatkannya sukar untuk mengesahkan dakwaannya secara bebas.

    Baju dan seluar berlapis-lapis yang dipakai oleh anggota bomba kini telah menjadi medan pertempuran terbaharu mengenai PFAS.

    Ia dijumpai dalam pelbagai bahan dari pembungkusan makanan hingga pakaian dan dikaitkan dengan masalah kesihatan termasuk pelbagai jenis kanser. Pada bulan Mac, Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) buat kali pertama mencadangkan had terhadap sebatian itu dalam air minuman.

    Anggota bomba dan peralatan PFAS

    Berita mengenai kewujudan sebatian PFAS dalam peralatan mereka – yang utamanya bertujuan untuk menangkis air dan bahan cemar seperti minyak serta mencegah kecederaan berkaitan kelembapan – menimbulkan kebimbangan dalam kalangan anggota bomba.

    Persatuan Antarabangsa Pemadam Kebakaran (IAFF) menyatakan bahawa kanser kini menggantikan penyakit jantung sebagai punca utama kematian semasa bertugas.

    Para anggota bomba didapati lebih berisiko berbanding populasi umum untuk terdedah kepada beberapa jenis kanser.

    Anggota bomba terdedah kepada senarai panjang bahan penyebab kanser yang berasal daripada kebakaran yang membakar lebih panas dan lebih cepat berbanding sebelum ini – sering kali disebabkan oleh peningkatan produk petroleum di dalam rumah.

    Tetapi apabila mereka menyelidiki lebih lanjut mengenai PFAS, anggota bomba mula berselisih bahawa peralatan perlindungan diri atau PPE mereka menyebabkan mereka sakit.

    “Kami tidak tahu bahawa pakaian yang kami pakai setiap hari adalah dipenuhi dengan PFAS,” kata Presiden Umum IAFF, Edward Kelly, yang dipilih pada tahun 2021 dalam kempen untuk mengatasi bahaya PFAS dalam peralatan.

    Komitmen dan kecekalan

    Sam Dillon, Presiden Anggota Bomba Boston, Local 718, berkata persatuan itu terpaksa bertindak.

    “Apa yang kita hadapi, masalahnya pada kami menjadi sangat mudah,” katanya.

    “Terdapat sains yang terbukti bahawa PFAS adalah karsinogen yang diketahui. Juga terdapat sains yang membuktikan bahawa PFAS terdapat dalam peralatan perlindungan yang dipakai anggota bomba kami.

    “Jadi, apabila diberitahu bahawa terdapat karsinogen yang diketahui dalam seluruh ansuran perlindungan yang dipakai anggota kami, ia adalah kebimbangan yang besar bagi persatuan dan tugas kami untuk menangani isu ini,” ujarnya.

    Salah seorang defendan dalam tuntutan mahkamah, 3M Co., berkata dalam kenyataan bahawa ia “menghasilkan pelbagai produk peralatan perlindungan diri yang mematuhi piawaian yang diiktiraf secara kebangsaan untuk membantu melindungi responden pertama yang menghadapi persekitaran berbahaya.”

    Tahun lalu, syarikat tersebut mengumumkan bahawa ia akan berhenti menghasilkan PFAS menjelang akhir tahun 2025 dan akan berusaha untuk menghentikan penggunaan bahan kimia tersebut dalam produknya.

    Defendan lain, W. L. Gore & Associates, menyatakan bahawa sebatian PFAS PTFE yang digunakan dalam pakaian mereka adalah tidak toksik dan selamat.

    “Berdasarkan badan sains yang ada dan boleh dipercayai, Gore membuat kesimpulan bahawa produk pemadam kebakaran mereka bukanlah penyebab kanser yang menjejaskan anggota bomba, yang dengan semula jadi melalui pekerjaan penting mereka terkadang terdedah kepada bahan kimia penyebab kanser daripada kebakaran,” kata jurucakap syarikat, Amy Calhoun.

    Majlis Kimia Amerika menyatakan dalam satu kenyataan bahawa ‘bahan berasaskan PFAS adalah satu-satunya pilihan yang boleh dipertimbangkan untuk beberapa peralatan utama yang memenuhi sifat prestasi penting yang diperlukan untuk peralatan perlindungan diri pemadam kebakaran.’

    Kebimbangan peralatan

    PFAS telah digunakan dalam peralatan memadam kebakaran selama beberapa dekad.

    Tetapi isteri Leftenan Bomba Worcester, Massachusetts yang bersara, Paul Cotter, yang menghidap kanser, menimbulkan kebimbangan mengenai PFAS dalam peralatan pada tahun 2016.

    Sebelum ini, ramai anggota bomba tidak pernah mendengar tentang PFAS atau tidak tahu ia terdapat dalam peralatan mereka.

    Pengeluar peralatan memberitahu Diane Cotter bahawa hanya terdapat jumlah jejak PFAS dan ia selamat.

    “Saya diserang oleh anggota bomba apabila membincangkan idea bahawa bahan kimia dalam peralatan dapat menyebabkan kanser,” katanya.

    Cotter menghantar sampel peralatan kepada Graham Peaslee, seorang profesor Universiti Notre Dame yang mengkaji PFAS, untuk diuji.

    “Ia penuh dengan PFAS. Itu adalah saat yang membuka mata bahawa mungkin terdapat lebih daripada jumlah yang sedikit,” kata Peaslee, yang juga menemui bahan kimia tersebut pada sarung tangan dan dalam debu di balai bomba.

    “Mereka terdedah dan membawa risiko,” katanya.

    Courtney Carignan, seorang saintis pendedahan dan epidemiolog di Universiti Negeri Michigan, berkata dia mendapati PFAS dua kali ganda lebih tinggi berbanding tahap populasi umum dalam darah lebih separuh daripada 18 anggota bomba yang diuji di Nantucket dan Fall River, Massachusetts.

    Dia juga mendapati PFAS dalam peralatan dipindahkan ke kulit anggota bomba.

    Tetapi Carignan masih menyiasat sejauh mana peralatan menyumbang kepada peningkatan tahap PFAS dalam darah dan sama ada pendedahan PFAS mungkin menyebabkan atau menyumbang kepada kanser.

    “Walaupun kita tahu PFAS ada dalam peralatan, akan tetapi kita masih tidak tahu sejauh mana pendedahan itu,” katanya.

    Tindakan anggota bomba

    Pendedahan mengenai PFAS dalam peralatan telah memulakan kempen oleh anggota bomba untuk mencari alternatif yang lebih selamat dan untuk menuntut syarikat-syarikat bertanggungjawab.

    Tuntutan mahkamah bagi pihak anggota bomba mendakwa mereka terdedah kepada tahap PFAS yang signifikan dan syarikat-syarikat tahu peralatan mengandungi PFAS dan ia boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius.

    Tuntutan juga mendakwa syarikat-syarikat tersebut telah memalsukan produk mereka sebagai selamat.

    IAFF, yang mewakili lebih daripada 340,000 anggota bomba Amerika Syarikat dan Kanada, telah memutuskan pada tahun 2021 untuk tidak lagi menerima sponsor atau iklan dari industri kimia dan menentang penggunaan PFAS dalam peralatan pemadam kebakaran. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda