Monday, May 5, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bahaya tidur dalam kereta

    Perbuatan tidur dalam kereta tanpa mematikan enjin amat berbahaya kerana awda terdedah dengan bahaya keracunan karbon monoksida yang boleh membawa maut.

    Menurut laman web Carlist Malaysia, keracunan karbon monoksida ini bukanlah perkara yang boleh diambil ringan. Sekiranya awda berehat atau terlelap di dalam kereta tanpa mematikan enjin, terdapat kemungkinan bahawa awda tidak akan bangun buat selama-lamanya. Jika awda mempunyai tabiat seperti itu, ada baiknya tabiat tersebut dihentikan serta-merta.

    Ingat lagi tak kes tiga wanita maut manakala satu lagi kritikal lepas tertidur dalam kereta di kawasan parkir sebuah stesen minyak di Butterworth, Malaysia pada tahun 2020 lalu?

    Karbon monoksida merupakan punca utama kematian tersebut. Sekiranya berlaku kebocoran ekzos kereta ke dalam kabin kereta sewaktu mangsa sedang tidur, gas yang tidak mempunyai bau dan rasa ini akan menerjah menerusi saluran pernafasan dan seterusnya ke saluran darah tanpa disedari.

    Gas beracun yang dihidu mangsa ini akan bergabung dengan hemoglobin dan membentuk karbosihemoglobin (hbCO) di dalam darah. Hemoglobin merupakan protein dalam sel darah merah yang berfungsi membawa oksigen ke sel-sel badan. Seterusnya, hemoglobin akan membawa gas beracun yang disedut oleh paru-paru ke seluruh badan. Pembentukan karbosihemoglobin akan menghalang oksigen dan hemoglobin daripada bergabung. Bila tiada oksigen dihantar pada sel badan, organ boleh rosak dan seterusnya menyebabkan kematian.

    Jangan sesekali meninggalkan anak kecil bersendirian dalam kereta kerana mereka mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk lemas berbanding orang dewasa. – Envato elements
    Gas karbon monoksida dihasilkan daripada ekzos kereta. – Freepik

    BAHAYA KARBON MONOKSIDA

    Apabila enjin kenderaan dihidupkan tanpa bergerak dalam jangka masa panjang, kebocoran gas boleh berlaku daripada ekzos dan masuk ke kabin. Masalah teknikal pada kereta berpotensi untuk menyebabkan gas ini bocor ke dalam kabin ketika pemilik sedang tidur. Ia meningkatkan risiko mati lemas.

    Karbon monoksida terhasil daripada pembakaran bahan bakar tanpa oksigen yang mencukupi.

    Dikenali sebagai ‘Pembunuh Senyap’ kerana gas karbon monoksida (CO) amat sukar dikesan kerana ia tidak berwarna, tiada bunyi, tiada rasa dan bau serta tidak menyakitkan.

    Pengumpulan karbon monoksida (CO) yang disebabkan oleh kebocoran daripada ekzos akan menurunkan paras oksigen di dalam kenderaan.

    Peningkatan tahap karbon monoksida di dalam kereta memberi kesan kepada oksigen dalam darah mangsa. Ini mengakibatkan darah membawa lebih banyak karbon monoksida dan boleh menyebabkan kematian secara tiba-tiba.

    Walaupun dengan tingkap dibuka ketika enjin kereta dihidupkan, karbon monoksida tetap boleh terkumpul kerana kereta tidak bergerak dan ia akan menyebabkan penurunan oksigen dalam darah mangsa.

    GEJALA KERACUNAN KARBON MONOKSIDA

    Antara gejala keracunan karbon monoksida ialah sakit kepala, pening, loya, sakit perut, muntah, sakit dada dan berasa keliru.

    Sekiranya gas beracun ini menyerang mangsa ketika tidur, mangsa tidak akan sedar langsung dengan sebarang perubahan pada dirinya kerana dia sedang nyenyak tidur.

    Berbanding ketika mangsa sedar kerana sebarang perubahan pada dirinya boleh dirasai seperti pening, loya dan sebagainya.

    TIP MENGELAKKAN KERACUNAN KARBON MONOKSIDA

    Pastikan sistem pendingin hawa dan ekzos kereta awda berada dalam keadaan baik dan diselenggara secara bekala mengikut jadual. Nak lebih selamat, jadikan ia salah satu penjagaan asas wajib bagi kereta awda.

    Seterusnya, elakkan daripada mengamalkan tabiat tidur dalam kereta ketika enjin masih hidup walaupun tingkap telah dibuka kerana karbon monoksida masih boleh terkumpul.

    Seeloknya, keluarlah dari kenderaan dan berehatlah di kawasan yang sesuai.

    Jika berlaku kecemasan di mana awda terpaksa berehat atau tidur di dalam kereta, jangan sesekali menghidupkan enjin ketika awda tidur.

    Sebaliknya, matikan enjin kereta dan turunkan tingkap bagi memastikan aliran udara lancar.

    Jangan sesekali meninggalkan anak kecil bersendirian dalam kereta kerana mereka mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk lemas berbanding orang dewasa.

    Akhir kata, sama-samalah kita sebarkan tentang bahaya tidur dalam kereta tanpa mematikan enjin ini kepada orang ramai supaya perkara bahaya yang boleh membawa kematian ini tidak berulang kembali.

    Masyarakat juga haruslah peka dan tahu tentang isu ini bagi tujuan mendidik dan juga tujuan keselamatan. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda