Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JULAI – Para penggemar kereta jenis SUV tahan lasak, kini mempunyai satu lagi pilihan di pasaran Brunei iaitu BJ40L keluaran Beijing Automotive Industry Corp (BAIC).
Pengedar rasmi kenderaan jenama BAIC, TCY Motors Sdn Bhd melancarkan dan memperkenalkan model pertama tahan lasak itu di sini.
BJ40L merupakan sebuah SUV yang direka untuk mengetengahkan sifat berani dan ingin mengembara bagi mereka yang suka kegiatan lasak. Dengan rekaan yang padat dan gagah, ia setentunya akan menarik perhatian semua apabila berada di jalan raya.
BJ40L merupakan sebuah kereta yang dilengkapkan dengan keupayaan enjin yang berkuasa dengan memberikan kawalan pemanduan terbaik bagi pemandu dalam semua persekitaran.
Ia dilengkapi dengan enjin kuasa turbo 2 liter yang mampu menghamburkan kuasa 160kW dan tork 320Nm dengan penukaran gear kepada dua roda, empat roda dan pemanduan 4L.

Pada masa yang sama, BJ40L turut mengetengahkan teknologi canggih yang dihasilkan oleh syarikat automobil Sweden, Saab.
BJ40L juga mempunyai rekaan yang tampak gah di mana ia amat sesuai dalam cuaca dan keadaan yang lasak. Ia mempunyai rekaan gril depan yang unik dilengkapkan lampu hadapan LED dan lampu belakang LED penuh yang memberikannya rupa yang unik.
Selain daripada itu, bumbung BJ40L boleh dibuka serta dipasang semula dengan mudah di mana ia menambahkan lagi rekaannya yang unik.
Ruangan dalamnya pula mengetengahkan tempat duduk kulit yang lembut, skrin sentuh 10 inci dengan sambungan Bluetooth serta sistem audio yang menarik.
BAIC diasaskan pada 1958 di mana ia merupakan salah satu daripada beberapa buah pembuat kereta di China yang mendapat pujian daripada pemimpin China serta digunakan sebagai kenderaan tentera kerana sifatnya yang tahan lasak.
Dengan sifat inovatif dan progresif-nya, BAIC mula dikenali di luar China di mana ia mencatatkan beberapa mercu tanda bersejarah termasuk usaha sama dengan American Automotive Company (AMC) untuk menubuhkan Beijing Jeep Co Ltd serta syarikat induk Mercedes, Daimler AG menerusi syarikat usaha sama, Beijing Benz, di mana ia merupakan salah satu pemegang saham BAIC sejak 2013.
Hari ini, BAIC terus berkembang maju dan mencapai pelbagai mercu tanda termasuk tersenarai dalam majalah Amerika Syarikat, Fortune TOP 500 sebanyak lapan kali sejak 2013.
BAIC Brunei kini membukakan dewan pameran di Lambak di mana orang ramai boleh berkunjung dan melihat sendiri dengan lebih dekat, BJ40L.