BEIJING, 2 JAN – Gergasi internet China, Baidu berkata ia membatalkan pembelian bernilai berbilion dolar yang dirancang bagi platform penstriman langsung YY Live, sebahagiannya disebabkan ketidakupayaannya untuk mendapatkan kelulusan kerajaan.
Baidu, syarikat enjin carian terkemuka negara, bersetuju pada 2020 untuk membeli perniagaan video langsung Cina JOYY Inc, YY Live pada harga AS$3.6
bilion.
Pengasas Baidu, Robin Li berkata pada masa itu perjanjian itu akan “melonjakkan Baidu menjadi platform terkemuka untuk penstriman langsung dan mempelbagaikan sumber pendapatan kami”.
Namun Baidu berkata dalam pemfailan bursa saham Hong Kong hari ini ia akan membatalkan perjanjian pembelian tersebut.
Ia menjelaskan bahawa “persetujuan cadangan pengambilalihan itu tertakluk kepada syarat tertentu, antara lain termasuk mendapatkan kelulusan kawal selia yang diperlukan daripada pihak berkuasa kerajaan.”
Menurutnya, sehingga 31 Disember 2023, syarat itu belum dicapai.
Perjanjian itu pada asalnya dijangka selesai menjelang 2021.
Penstriman langsung ialah perniagaan berjuta-juta dolar di China, menjana keuntungan besar untuk gergasi e-dagang dan pempengaruh popular.
Baidu telah berdepan persaingan yang semakin sengit dalam beberapa tahun kebelakangan ini daripada pesaing domestik termasuk Tencent – yang mengendalikan platform pemesejan WeChat – dan ByteDance, yang memiliki aplikasi video pendek TikTok dan Douyin di China. – AFP
